Ahad, 12 Mei 2013

Pengundi diberi kertas undi yang dipangkah – Aziz Bari


Oleh: Rusnizam Mahat

SABAK BERNAM : Calon KEADILAN di parlimen Sabak Bernam, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, berlaku pemindahan beramai-ramai pengundi dari kawasan itu ke tempat lain, menyebabkan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau turut dimaklumkan terdapat pengundi yang diberi kertas undi yang sudah dipangkah, pada hari pengundian 5 Mei lalu.

“Ada yang mendapati nama mereka sudah dipotong dan ada orang mengundi bagi pihak mereka.

“Selain itu petugas (Pakatan Rakyat) juga ada menghalang warga Bangladesh memasuki kawasan mengundi. Tetapi petugas Umno mempertahankan mereka.

“Pada sebelah petang, petugas Umno berjaya menyeludup masuk ke dalam pusat mengundi dengan menggunakan van bercermin gelap,” katanya yang mengesyaki kenderaan itu membawa masuk pengundi hantu.

Menurut Aziz, pihaknya kini sedang mengumpulkan bukti dan maklumat menerusi agen barong, pengundian dan pengiraan (PACABA) sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Aziz berkata, kekalahan di DUN Sungai Air Tawar dalam parlimen Sabak Bernam,  ekoran Umno menggunakan isu permohonan hak pemilikan tanah rizab yang ditolak kerajaan negeri Selangor.

Pada 22 April lepas, seramai 300 penduduk Kampung Sungai Tengar Utara mendakwa mereka dipermainkan kerajaan negeri apabila menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang memberitahu permohonan berkenaan ditolak bersama sekeping cek bernilai RM500.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, Aziz tewas dengan majoriti 1,644 undi kepada lawannya dari BN, Mohd Fasiah Mohd Fakeh. Aziz memperolehi 14,743 undi manakala Mohd Fasiah 16,387 undi.

Tiada ulasan: