Ahad, 12 Mei 2013

Penganalisis: Kabinet 'perdamaian kebangsaan' perlu lantik orang luar

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU13 disaran supaya mencari penyelesaian terbaik dalam hasratnya mengadakan perdamaian kebangsaan selepas menyaksikan parti itu ditolak masyarakat Cina.

Penganalisis politik, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, meletakkan calon daripada parti lawan misalnya DAP ke dalam Kabinet bagi tujuan itu umpamanya, tidak sepatutnya berlaku.

"Tidak perlu sebenarnya hendak mencari penyelesai masalah daripada pihak lawan.

"Perdamaian kebangsaan yang disebut oleh perdana menteri itu tidak semestinya begitu," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

"Ia juga akan menyebabkan ramai yang menang dalam BN akan merasa kecewa," tambah beliau mengulas sejauh mana kemungkinan wakil Pakatan Rakyat (PR) atau pembangkang akan dibawa ke dalam Kabinet, selari dengan seruan perdana menteri agar diadakan 'penyatuan' selepas PRU13.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan agar DAP menyertai BN untuk memastikan perwakilan Cina dalam kerajaan.

Ia ekoran kekalahan teruk MCA dalam pilihan raya lalu yang disifatkan sudah tidak lagi memenuhi aspirasi masyarakat Cina di negara ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang sebelum ini berkata parti itu akan menimbang perkara tersebut, kemudian memutuskan, DAP tidak akan menggantikan MCA.

“Kita menolak apa-apa kemungkinan DAP akan menggantikan MCA dalam BN. Kita buat satu parti bukan untuk kaum Cina saja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.
“Tujuan kita bukan untuk gantikan peranan MCA," ujar beliau.

Jayum seterusnya mencadangkan penyelesaian bagi membentuk barisan Kabinet yang merangkumi semua kaum ini mungkin boleh dilakukan dengan memilih bukan dari kalangan ahli Parlimen berbangsa Cina sahaja.

"Mungkin kita boleh ambil dari golongan akademik, profesional atau NGO yang boleh memberi sumbangan kepada Kabinet baru," ujar beliau.

Dalam pada itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, pembentukan Kabinet pusat harus mengikut prinsip asalnya.

"Dalam sistem Westminster majoriti yang akan memerintah dan menjadi menteri," ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul soal bagaimana parti lawan akan dijemput ke dalam Kabinet baru yang akan dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa juga permasalahan yang ingin diselesaikan.

"Saya rasa tidak kena kalau kita hendak letak mereka (pembangkang) dalam Kabinet bagi tujuan perpaduan.

"Malah saya menyokong tindakan MCA yang menyatakan mereka tidak mahu wakil mereka dalam Kabinet.

"MCA amal politik matang kerana mereka tahu kegagalan mereka," ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: