Harakahdaily, |
Azran telah menulis di dalam Facebook beliau bahawa beliau adalah rakyat Malaysia dan anti perkauman serta meluat dengan pendirian pengarang Utusan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, kenyataan Azran itu menandakan golongan menengah tidak lagi boleh ditakutkan oleh Umno BN dengan maklumat sebelah pihak.
"Saya menyanjung tinggi keberanian dan keterbukaan Azran. Sebagai pegawai tinggi sebuah syarikat besar negara, beliau sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian, menandakan golongan menengah dan berpendidikan tinggi yang celik maklumat telah berani keluar dari kepompong ketakutan politik yang mencengkam mereka selama ini.
"Beliau adalah ikon golongan koporat yang berani bangkit menyatakan kebenaran. Jika Azran Osman berani mengeluarkan kritikannya, ia bererti ramai lagi golongan korporat, usahawan dan profesional yang menyimpan perasaan yang sama dan meluat dengan tahap media utama negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Persatuan Veteran Umno yang mengarahkan anggotanya supaya memboikot perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia X berikutan kenyataan Azran yang mengkritik Utusan.
Mengulas lanjut Suhaimi berkata, isu sebenar adalah etika Utusan Malaysia yang sudah hilang wibawanya dan jauh tersasar dari landasan kewartawanan sebenar.
Sebagai akhbar nombor satu di negara ini, Utusan Malaysia telah lama hilang punca kerana hanya mengikut telunjuk kuasa politik pemimpin negara.
"Lihatlah faktanya dan sejumlah saman yang dikenakan terhadap akhbar tersebut. Sampai bilakah media di negara ini terus menjadi ‘budak suruhan’ pemimpin negara," soalnya.
Apa yang pelik kata Suhaimi, mengapa Persatuan Veteran Umno pula yang terasa hati atau apakah Veteran Umno mempunyai saham atau akhbar Utusan Malaysia sememangnya milik Umno?
"Jika ia milik kerajaan dan rakyat, sepatutnya terimalah kritikan tersebut dengan besar hati. Usah diperbesarkan dan mengugut untuk boikot Air Asia X hanya semata-mata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut mengkritik sesuatu yang diyakini berlaku. Bukan setakat beliau, jutaan rakyat Malaysia boleh mengesahkan perkara tersebut dan bersetuju dengan kenyataan Azran," kata Suhaimi.
"Jika Utusan Malaysia milik Umno, buatlah kenyataan terbuka bahawa ia adalah hak milik Umno dan terhad hanya untuk ahli-ahli sahaja sebagaimana terhadnya Harakah dan Keadilan kepada ahli partinya sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan