Rabu, 8 Mei 2013

Pemerhati: Keputusan Nik Aziz sara tepat

Wartawan Sinar Harian
BACHOK – Keputusan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengejutkan banyak pihak.

Beliau yang sebelum ini menegaskan akan berkhidmat sehingga hujung nyawa mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sejak 23 tahun lalu.

Bagi seorang pemerhati politik, Datuk Alex Ong, keputusan Nik Abdul Aziz itu suatu pilihan tepat untuk memberi laluan kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob.

“Menilai segala pengalaman yang ada pada beliau (Nik Abdul Aziz) selama lebih 29 tahun ini, ia adalah  keputusan tepat. Beliau dipercayai rakyat dan jasanya dikenang rakyat semua lapisan masyarakat kerana sifatnya sendiri mesra terhadap semua kaum.

“Saya berharap agar persaraannya tidak dipolitikkan mana-mana pihak dan beri peluang kepada beliau untuk tumpu kepada keluarga, beribadah dan menjadi mentor kepada menteri besar baru,” katanya semalam.

Alex juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang baru mengangkat sumpah petang kelmarin di depan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian.

Ahmad adalah Adun Pasir Pekan selama beberapa penggal.

Manakala timbalan menteri besar yang baru ialah Adun Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Alex berharap Ahmad juga mempunyai visi dan ciri-ciri dimensi baru dalam segala perkara dan di samping meneruskan perjuangan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat akar umbi di Negeri Kelantan.

Manakala, Adun Jelawat yang baru mengangkat sumpah kelmarin, Abdul Azziz Kadir juga menyuarakan sokongannya terhadap pelantikan menteri besar baru.

“Dari segi ranking, beliau (Ahmad) memang layak dilantik sebagai menteri besar baru selepas persaraan Tok Guru.

“Kami akan terus menyokong beliau dalam meneruskan gerak kerja dan dasar parti tidak mengira siapa pun menteri besar atau exco yang dilantik musim ini,” katanya semalam.

Tiada ulasan: