Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) tersebut mengamalkan budaya berbohong seperti diamalkan parti pemerintah BN apabila berkata ahli Kabinet tidak perlu mengisytiharkan harta kepada umum.
“Paul Low tidak seharusnya bertukar begitu cepat daripada Presiden Transparency International Malaysia kepada jurucakap BN dengan menggunakan budaya pembohongan BN apabila menerangkan kenapa ahli Kabinet tidak perlu menhisytiharkan harta secara umum,” kata Lim dalam satu kenyataan media hari ini.
“Sekarang Paul Low sudah menjadi menteri BN, beliau telah akhirnya menelan semua propaganda BN kononnya pengisytiharan harta akan menggugat keselamatan menteri kabinet,” tambahnya lagi.
Ketua menteri Pulau Pinang juga mempersoalkan Low yang tiba-tiba bertukar pendirian sebaik masuk ke dalam Kabinet walaupun sebelum ini menyokong pemimpin kerajaan pentadbiran DAP tersebut yang mengisytiharkan harta.
“Sebaliknya menggunakan pendekatan serupa demi meningkatkan integriti di Kerajaan Persekutuan, kenapa pula beliau memiliki pendirian berlainan sekarang?” soal Lim.
Low juga dibidas pemimpin DAP tersebut kerana mengatakan pengisytiharan harta Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli mesyuarat negeri (exco) adalah tidak rasmi kerana tiada tindakan diambil walaupun maklumat yang diberikan adalah tidak benar.
“Pengisytiharan harta Kerajaan Negeri Pulau Pinang disahkan oleh sebuah firma perakaunan antarabangsa dan diakujanji oleh ahli exco bahawa mereka telah memberikan maklumat yang tepat dan benar.
“Semua ahli exco yang gagal mengisytiharkan harta akan dilucutkan jawatan. Bukankah itu hukuman berat yang mencukupi untuk memastikan semuanya patuh?” ujar Lim lagi.
Penasihat DAP Lim Kit Siang juga turut mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan Low berada dalam Kabinet, serta mencabarnya untuk melaksanakan lima perkara bagi membuktikan keupayaannya.
Low digesa untuk mendedahkan laporan dan penilaian penuh terhadap Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M
pada 20 Februari 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan tiga Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) melibatkan cadangan Perdamaian Kebangsaan, insiden 13 Mei 1969 serta tuduhan rasuah ke atas Tan Sri Taib Mahmud serta Datuk Seri Musa Aman, disamping membuka semula kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani.
“Bolehkah Paul Low menyelesaikan kelima-lima kes dalam minggu pertama beliau sebagai Menteri, dengan mendapatkan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakannya?” soal Lim Kit Siang.
Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia (CPI) menurun untuk beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun Malaysia bertambah baik pada tahun 2012 untuk menjadi negara ke-54, di dunia, indeks antarabangsa masih meletakkan Malaysia di bawah negara-negara Afrika seperti Rwanda (50) dan Botswana (30 ).
“Hanyalah apabila kerajaan BN berkomitmen untuk melakukan pengisytiharan harta secara umum dan melaksanakan tender terbuka maka rakyat akan percaya,” kata Lim Kit Siang lagi.
“Apa sahaja yang kurang daripada itu hanyalah akan menambahkan curiga bahawa Paul Low hanyalah seorang apologis yang dipergunakan secara kosmetik untuk menunjukkan kononnya UMNO dan BN itu anti rasuah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan