Rabu, 8 Mei 2013

PAS Titiwangsa terus bersama rakyat - Zamri

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: PAS Titiwangsa akan terus bersama-sama rakyat di kawasan itu dalam membawa isu-isu kebajikan mereka walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) minggu lalu.

Calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi berkata, dengan undi sebanyak 22,168 beliau yakin rakyat masih bersama parti itu.

"PAS Titiwangsa akan tetap menjadi suara kedua, check and balance terhadap apa sahaja yang melibatkan penduduk Titiwangsa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tanpa menganggap ia satu kekalahan, Zamri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan berkata, PAS kalah pada undi awal serta saluran satu dan dua.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kekalahan tersebut kerana manipulasi undi awal dan pengundi luar yang dibawa masuk untuk mengundi di Titiwangsa.

"Kiraan undi biasa, PAS mendahului hampir 300 undi. Bila masuk undi awal, PAS kalah majoriti 866.

"Jentera PAS juga menahan seorang broker yang bawa ratusan anggota Rela daripada negeri-negeri utara untuk mengundi di Titiwangsa. Di tangannya memang ada ratusan nama untuk mengundi," katanya.

Beliau juga berkata, pengundi Melayu khususnya pengundi warga emas tidak memilih PAS kerana terpengaruh dengan isu perkauman yang dimainkan Umno BN sewaktu berkempen selain video seks pimpinan Pakatan yang diedarkan rumah ke rumah.

"Memang PAS menjumpai risalah-risalah kempen berunsur perkauman yang menuduh DAP dan Cina dan video seks juga diedarkan kepada pengundi," katanya yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham).

Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) itu juga memberi jaminan akan terus memperjuangkan tanah Kampung Baru daripada tergadai.

"Walaupun tak menang, kami akan terus bersama penduduk Kampung Baru memperjuangkan tanah mereka," katanya.

Sementara itu, Zamri merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera yang bertungkus-lumus membantu beliau termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Saya ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh petugas dari pemuda, muslimat dan DHPP yang banyak membuat kerja membantu," katanya.

Tiada ulasan: