Ahad, 5 Mei 2013

PAS Lapor Polis Kes Membabitkan Pengundian Pada Hari Mengundi PRU-13

Wartawan Buletin

Khttp://buletinonline.net/images/stories/aberita20/PC%20Hari%20Mengundi.jpgUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menerima aduan beberapa kes berhubung masalah pengundian dan empat daripadanya telah pun dibuat laporan polis sepanjang proses pembuangan undi pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13), sehingga jam 2 petang hari ini Ahad 5 Mei.

Tiga daripada empat kes terbabit melibatkan isu dakwat kekal yang didakwa luntur sebaik sahaja dicuci, manakala satu lagi kes melibatkan seorang pengundi, Nik Ameran Muhammad yang gagal mengundi akibat namanya telah pun dipotong kerana ditandakan sebagai beliau telah pun mengundi, sedang ia adalah sebaliknya.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mendakwa, isu dakwat kekal yang 'tidak kekal' berlaku hampir di kesemua pusat mengundi dan pihaknya sedang mengumpul bukti-bukti untuk tindakan lanjut.

“InsyaAllah, kami akan mengumpulkan laporan-laporan polis ini dan mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan lanjut

“Kes kedua dalam Dun Jabi di Parlimen Setiu, satu kes seorang pengundi Nik Ameran Muhammad nombor kad pengenalan 730119-11-5249. Kad pengenalan lama A2351491 yang mana beliau sewaktu pergi mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Apal saluran dua sewaktu menyerahkan kad pengenalan kepada kerani untuk disemak dan dibenarkan untuk mengundi didapati nama beliau telah pun digaris oleh pihak tersebut yang menunjukkan bahawa nama beliau telah pun diundi individu lain.

“Sedangkan beliau belum mengundi dan buktinya tiada calitan di tangan tetapi nama beliau telah dipotong. Saudara Nik Ameran Muhammad ini juga telah membuat laporan polis dan insyaAllah kita serah pada peguam kita,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini.

[Lihat Video]


Beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu berkata, kes lain yang turut dikesan antaranya isu pengundi hantu apabila tiga warga Indonesia mengaku mereka telah diberi kad pengenalan untuk membuang undi di pusat pengundian di Dun Sura dan mengaku untuk memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum itu.

“Ada tangkapan awam, kita sedang buat rakaman pengakuan mereka dan insyaAllah kita buat laporan polis seberapa segera,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat dua isu lain melibatkan kad pengenalan sama yang digunakan dua individu berbeza di Pulau Kerangga dan juga cubaan menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia.

Bagi kes menggunakan kad pengenalan orang yang meninggal dunia, beliau berkata, pihaknya telah pun mengesan pengundi terbabit dan dua bantahan dibuat serta-merta kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada kedua-dua wakil parti di Pulau Bahagia, Manir.

“Ini perkara yang mengesahkan perkara yang diwar-warkan dan ditakuti pihak kami sebelum ini. SPR sepatutnya membersihkan terlebih dahulu senarai nama-nama pengundi sebelum berlakunya proses pengundian pada hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: