Sabtu, 4 Mei 2013

Papan iklan Chegu Bard disimbah cat merah angkara lawan

Oleh Aisha Geoffrey

SUNGAI ACHEH : Papan iklan calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Badrul Hisham Shaharin dilempar cat merah kira-kira jam 7 pagi semalam.

Chegu-Bard-cat-merah

Badrul yang dikenali Chegu Bard berkata, tindakan biadap itu dilakukan pihak tertentu kerana tertekan dengan bacaan statistik terbaru Sungai Acheh yang menunjukkan beliau mendahului dari segi sambutan pengundi.

“Salah satu ‘billboard’ saya dilempar cat merah oleh pihak yang hilang pertimbangan di hujung tempoh berkempen. Sebelum ini juga telah wujud banyak kes kehilangan bahan kempen,” katanya pada kenyataan.

Tegas beliau, simbahan cat merah sinonim dengan tindakan Umno berdasarkan kejadian-kejadian sebelum ini.

“Sebelum ini banyak premis dan harta benda Pakatan Rakyat disimbah termasuk bas Merdeka Rakyat,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu.

Mengulas lanjut berkenaan perkembangan di Sungai Acheh, Pulau Pinang, KEADILAN pada 28 April lalu menganjurkan satu program debat antara Chegu Bard dengan pesaingnya, Datuk Mahmud Zakaria, bagaimanapun calon BN itu tidak hadir.

“Beliau (Mahmud) masih tidak bersuara soal keinginan berdebat walaupun dicabar menjadi tuan rumah, malah seorang ahli akademik juga telah cuba menjadi orang tengah dalam perdebatan, malangnya calon BN masih tidak bersetuju,” jelas Chegu Bard.

“Ini bukti mereka (BN) tiada hujah dan tidak bersedia untuk terus menerajui Sungai Acheh,” bidasnya.
Justeru, beliau menyeru para pengundi Sungai Acheh agar menolak politik kebencian dan berpolitik secara bijak.

Tiada ulasan: