Rabu, 15 Mei 2013

Noh Omar, Shaziman digugurkan dari kabinet

MALAYSIA KINI



Beberapa orang pemimpin utama Umno digugurkan dari senarai jemaah menteri yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Paling menonjol adalah MP Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini mengetuai portfolio kementerian pertanian dan industri asas tani.

Noh yang juga timbalan pengerusi BN Selangor tidak dikekalkan dalam kabinet kali ini susulan kegagalan BN untuk merampas semula negeri tersebut dalam pilihan raya 5 Mei.

Turut digugurkan ialah ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang sebelum ini mengetuai kementerian kerja raya.

Selain itu, pemindahan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ke kementerian kewangan juga menjadi perhatian memandangkan beliau sebelum ini menjadi menteri yang bertanggungjawab ke atas parlimen dan hal ehwal undang-undang.

Jumlah portfolio kementerian kali ini berkurangan apabila kementeri pelajaran dan kementerian pengajian tinggi digabungkan semula.

Bagaimanapun, jumlah anggota jemaah menteri kali ini adalah lebih besar berbanding sebelumnya.

Paling ketara adalah penyertaan sebilangan besar pemimpin dari Sabah dan Sarawak – seramai 13 orang – di jawatan menteri dan timbalan perdana menteri.

Antara tokoh BN yang menonjol dari blok tersebut ialah MP Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan yang diberi tanggungjawab untuk mengetuai kementerian perumahan, kerajaan tempatan dan kesejahteraan bandar.

Ketua pemuda BN Khairy Jamaluddin juga mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai menteri belia dan sukan dalam kabinet Najib.

Turut menjadi perhatian ialah pemimpin Hindraf P Waythamoorty yang menjadi timbalan menteri di jabatan perdana menteri dan juga pemimpin pertubuhan pemantau rasuah Transparency International Malaysia (TI-M), Paul Low Seng Kuan.

Najib juga menyenaraikan ketua pegawai operasi Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk mengetuai portfolio jabatan perdana menteri.

Dalam ucapannya, Najib berharap "kabinet berimbang" dari wakil golongan berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda itu akan memberi kelangsungan kepada pentadbirannya.

Beliau juga berharap pemimpin berkenaan akan menumpukan kebolehan dan kepakaran masing dalam menangai isu integriti dan rasuah.

"Mereka yang merupakan teknokrat akan sumbang kepakaran khusus yang ada pada mereka, untuk sumbang idea kreatif dan bernas untuk petimbangan kerajaan.

"Selain kebolehan mereka, yang muda akan bawa citarasa golongan muda kepada pertimbangan kerajaan.

"Ini kabinat yang mampu meneruskan dan menjalankan agenda transformasi nasional di samping meningkat kepercayaan dan keyakinan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: