Perhimpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di Kuantan malam ini terpaksa bertukar lokasi ke Dataran Rakyat berdepan dengan Markas PKR di Jalan Beserah, atas "nasihat polis".

Menurut setiausaha PKR Pahang Kamaruzaman Mohd Yunus, lokasi asal yang dicadangkan bagi perhimpunan 'Black 505' itu adalah di Padang Mahkota Aman di Kuantan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa memindahkan lokasi perhimpunan tersebut, hasil rundingan dengan wakil polis daerah Kuantan semalam, katanya.

Katanya, pegawai polis dalam pertemuan tersebut antara lainnya memberi alasan bahawa perhimpunan berkenaan tidak mengikut peruntukan seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga menyatakan bahwa lokasi asal merupakan padang awam yang tidak mendapat kelulusan daripada pegawai daerah Kuantan, kata Kamaruzaman lagi.

"Sekiranya perhimpunan itu diteruskan, polis akan mengambil tindakan kepada penganjur dan peserta. Lokasi berubah tetapi masa tidak berubah. Ia bermula jam 9 hingga 12 malam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. .

Kamaruzaman berkata perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dijangka hadir termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan malam ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan Mohd Jasmani Yusoff dilapor berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan haram kerana penganjur tidak memaklumkan perkara itu dalam tempoh 10 hari kepada polis sepertimana yang diperuntukan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat tengahari ini mengumumkan pertukaran lokasi perhimpunan yang sama di Johor Baharu pada malam esok.

Perhimpunan tersebut akan diadakan di pejabat PKR Cabang Puteri Wangsa di 28 Jalan Beladau 19, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram.

Lokasi asal perhimpunan itu di Dataran Bandaraya, Johor Baharu yang dimiliki oleh kerajaan negeri.

Semalam Polis Johor menyifatkan perhimpunan itu sebagai haram kerana tidak menepati syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.