Selasa, 21 Mei 2013

Lebih ramai ‘Adam Adli’ akan muncul selagi pilihan raya tidak bersih, kata pemimpin muda Pakatan


Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR — Penangkapan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dibawah Akta Hasutan adalah disebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) takut dengan kebangkitan rakyat menentang keputusan Pilihan raya 2013, kata pemimpin pemuda Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda ketiga-tiga parti komponen PR daripada PAS, PKR dan DAP menegaskan, penentang keputusan pilihan raya lalu bukan hanya semata-mata Adam Adli, sebaliknya terdapat lebih ramai yang menyokong beliau demi mahukan keputusan pilihan raya yang bersih.

“Selagi pilihan raya yang bersih dan adil tidak dikembalikan kepada rakyat, maka lebih banyak Adam Adli akan bangkit dan lawan tetap lawan demi negara Malaysia!” kata kenyataan berkenaan yang dikeluarkan bersama Ketua Dewan Pemuda PAS, dan ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong yang juga ahli Parlimen Rasah; dan Ketua Angkatan Muda PKR  Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga ahli Parlimen Bukit Katil.

“BN harus diingatkan bahawa bukan sahaja Adam Adli seorang sahaja yang menentang pilihan raya yang kotor, malah beliau akan disokong oleh rakyat jelata yang menginginkan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata mereka lagi.

Adam Adli telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada Sabtu lalu.

Beliau dikatakan telah menghasut rakyat supaya turun ke jalanan bagi membantah keputusan pilihan raya dalam satu forum anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCH).

Pimpinan Pemuda PR itu juga turut menyeru supaya BN menghentikan segala taktik dan tindakan kotor yang menindas rakyat dan membebaskan Adam Adli yang hanya melaksanakan haknya untuk bersuara.

“BN diingatkan untuk menepati janjinya dengan menghapuskan Akta Hasutan dan kesemua akta zalim yang sedia ada ... hak perlembagaan rakyat harus dibela dan bukannya dizalimi,” kata mereka.

Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Belia dan Sukan tegas mereka harus mempertahankan dan membela hak perlembagaan Adam Adli sekiranya beliau memang berniat untuk memenuhi aspirasi anak muda.

“Sesungguhnya Barisan Nasional adalah pihak yang telah menjejaskan demokrasi berparlimen dan bukannya Adam Adli,” tegas mereka lagi.

Tiada ulasan: