PETALING JAYA : Pakatan Rakyat (PR) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung lambakan isu kesalahan pilihan raya yang dikesan di kebanyakan tempat pengundian siang tadi.
Bercakap dalam satu sidang media awal pagi ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian-kejadian berkenaan, bukannya satu tuduhan liar dan kosong.
“Selagi SPR tidak menjelaskan perkara ini, kita tidak dapat menyatakan sebarang tindakan.
“Tidak adil untuk membuat sebarang keputusan dalam keadaan pilihan raya yang dijalankan secara tidak bersih,” jelasnya kecewa.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah sepanjang perjalanan proses pengundian, terdapat banyak insiden tangkapan pengundi asing seperti warga Bangladesh berjaya dilakukan.
Antaranya, di Parlimen Pandan di mana calon PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung cubaan mengundi dibuat oleh pengundi ragu di kawasan yang berjaya dimenanginya itu setelah tamat pengiraan.
Selain itu, cubaan untuk memanipulasi jumlah undi juga berjaya dikesan di kawasan Parlimen Lembah Pantai di mana polis didapati cuba membawa kotak peti undi yang diragui ke tempat pengiraan undi.
Menyifatkan SPR sebagai sebuah badan yang gagal mengendalikan suatu proses pilihanraya yang telus, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga meluahkan keraguannya mengenai pengiraan undian awal dan undi pos yang dijalankan.
“Bukan sahaja kita tidak dibenarkan memantau, tetapi lebih meragukan, undian-undian ini secara majornya menyebelahi BN sedangkan trend undian pengundi adalah sebaliknya,” katanya lagi.
Selain itu, turut dipersoalkan ialah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya boleh dihilangkan dengan mudah, tidak sepertimana didakwa SPR sebelum ini bahawa kononnya tidak akan hilang sehingga lima hari.
Mengulas pembentukan Kerajaan BN yang baru, Anwar sekadar berkata beliau masih menanti keputusan penuh sebelum sebarang ulasan dapat diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan