Isnin, 27 Mei 2013

Khalid : Sultan Selangor sudah perkenan senarai Exco

SINAR HARIAN

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan kepada senarai calon Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal 2013-2018.
  
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sehubungan itu majlis angkat sumpah jawatan Exco akan diadakan di Istana Alam Shah di Klang, Khamis ini pada pukul 9.30 pagi.
  
"Saya akan terus berjumpa wakil parti politik dari Pakatan Rakyat Selangor selepas ini untuk memberitahu senarai calon yang diperkenankan baginda ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Selangor di luar pintu Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.
  
Abdul Khalid berkata Sultan Selangor turut memberi perkenan baginda kepada pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.
  
Ditanya sama ada pelantikan Exco dibuat berdasarkan komposisi 4:3:3 iaitu empat daripada Pas dan masing-masing tiga wakil DAP dan PKR, Abdul Khalid berkata perkara itu akan diumumkan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan wakil parti politik berkenaan.
  
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi Dun Selangor berbanding 36 pada 2008.
  
PKR menang 14 kerusi, manakala Pas dan DAP masing-masing menang 15 kerusi sementara Barisan Nasional hanya menang 12 kerusi. - Bernama

Tiada ulasan: