Ahad, 12 Mei 2013

Kes fitnah bekas Adun Gual Ipoh selesai luar mahkamah

Mohd Nor Yahya,


KOTA BHARU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa hari ini telah memenangi kes saman fitnah terhadap Mohd Bakri Mustapha yang kini Adun Gual Ipoh setelah memenangi PRU13 minggu lalu.

Saman fitnah yang dibuat oleh Wan Yusoff pada tahun 2011 lalu dijadualkan dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini bagaimanapun telah dipinda kepada penyelesaian secara rundingan di luar mahkamah dengan Mohd Bakri dikenakan sejumlah bayaran dan direkodkan oleh hakim.

Menurut peguam yang mewakili Wan Yusoff, Hisham Fauzi, kes yang melibatkan mereka itu adalah kerana penyebaran fitnah yang dibuat oleh Mohd Bakri ketika itu Pengarah Dun Barisan Nasional di Gual Ipoh terhadap Wan Yusoff.

Wan Yusoff yang ketika itu Adun Gual Ipoh dikatakan menjalani kehidupan yang mewah dan mempunyai sebuah kenderaan berharga ratusan ribu ringgit.

Sementara itu, Wan Yusoff ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata tindakan yang tidak beretika yang dilakukan oleh Bakri itu telah menjejaskan reputasi beliau selaku Adun Gual Ipoh ketika itu.

“Alhamdulillah, kes ini telah diselesaikan hari ini dan saya berharap Bakri tidak lagi menggunakan platform sebagai wakil rakyat yang baru di Gual Ipoh untuk menyebarkan perkara-perkara fitnah terhadap saya maupun orang lain demi untuk memenangi hati penduduk setempat,”ujar beliau.

Wan Yusoff diwakili Hisham Fauzi, Nasrul Mohamed dan Mustakim Zaki manakala Penasihat Undang-Undang Umno Malaysia, Datuk Hafarizam Harun dan Hazira Abu Hayyan hadir mewakili Mohd Bakri.

Tiada ulasan: