Rabu, 15 Mei 2013

Kekuatan PAS meningkat walaupun Kedah tewas

DETIK DAILY

PAS catat peningkatan positif pada PRU13, sehingga dapat membantu Pakatan Rakyat menafikan suara dua pertiga majoriti BN di Parlimen. Walaupun kalah di Kedah, PAS berjaya kekalkan kuasa di Kelantan, dan pertingkatkan pencapaian di Selangor danPulau Pinang. Malah PAS hampir berjaya membentuk kerajaan di Terengganu, di samping mencapai kemenangan di beberapa kerusi di negeri-negeri lain.

Ini semua mukadimah kejayaan PAS yang lebih besar pada masa PRU14. Ikuti pandangan Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemubual wartawan kanan, AZIZ MUDA pada 6 Mei lalu.
 
WARTAWAN: YB berpuashati dengan pencapaian PAS pada PRU13, Ahad lalu. 

DR MOHD HATTA RAMLI: Pilihan Raya Umum (PRU13) merupakan pilihanraya yang memberikan pelbagai kesan kepada PAS. Walaupun Pakatan gagal memerintah negara, namun PAS berjaya mencapai beberapa kemenangan.

Dalam kemenangan ada kekalahan, dalam kekalahan pula ada kemenangannya.
Kita berjaya mendapat 21 kerusi parlimen. Tak banyak bezanya dengan pilihanraya 2008 (PRU12).

Namun, PAS menang di beberapa tempat baru termasuk di Sepang yang cukup payah untuk kita menangi satu ketika dulu. Kita berjaya merampas balik Dungun dan Kuala Nerus di Terengganu.

Ini merupakan satu petanda yang amat baik. Ini menunjukkan PAS boleh menang kembali kalau kita berkerja kuat. Jentera kita jangan kecewa. Kalau kita berkerja kuat, kita boleh menang kembali di tempat-tempat yang pernah kita menang sebelum ini.

Macam calon-calon PAS di kalangan Muslimat?

Kita juga berbangga dengan kejayaan calon-calon muslimat kita termasuk di Selangor dan Kelantan. Ini menggambarkan PAS semakin diterima oleh pelbagai golongan masyarakat. Kali ini PAS ramai meletakkan calon Muslimat. Inilah antara beberapa pemerhatian-pemerhatian awal kita tentang pencapaian PAS sekarang.

Tapi PAS kalah di Kedah....

Memang. Kita sedih kerana kehilangan Kedah. Kehilangan Kedah merupakan satu mala petaka kepada PAS, setelah kita berusaha menguruskan Kedah dengan baik. PAS perlu kaji punca kekalahan di Kedah.
Sepatutnya kejadian itu tak berulang setelah kita mempunyai pengalaman di Terengganu.

Jadi, ada faktor-faktor yang perlu dijadikan pengajaran kepada PAS mengenai perkara itu. Kalau kejadian itu berlaku disebabkan ketidakcekapan, kita perlu perbaiki. Kalau berpunca daripada kecuaian, kita harus buat tindakan-tindakan yang sepatutnya supaya ia tak akan berlaku lagi di tempat-tempat lain.

Di Selangor PAS menang sekali ganda, ini agak luar biasa.

Alhamdulillah, kita menang 15 kerusi Dun di Selangor. Selangor adalah sebuah negeri elit, negeri yang kaya dan mempunyai tahap pembangunan yang tinggi. Dengan kejayaan PAS memenangi 15 kerusi Dun di Selangor meletakkan PAS pada kedudukan yang penting, malah peneraju penting dalam Pakatan Rakyat.

Ini memecahkan imej PAS sebagai parti kampung kerana PAS tidak hanya memerintah Terengganu dan Kelantan sahaja, tetapi juga berjaya memerintah Selangor, negeri yang begitu hebat daripada segi pembangunannya.

Inilah yang amat ditakuti oleh Umno-BN kerana PAS kini telah diterima di bandar-bandar dan di pinggir-pinggir bandar. PAS mesti melaksanakan amanah rakyat dengan sebaiknya. PAS mesti meneruskan pembangunan di Selangor. Ini merupakan satu cabaran kepada para pemimpin PAS Selangor.

Para pemimpin PAS Selangor mestilah menunjukkan kehebatannya dalam mendepani pelbagai ujian dan memerintah Selangor dengan sebaiknya.

Kejayaan PAS di Selangor memang amat dicemburui oleh Umno-BN.

Walaupun Umno-BN menang di Kedah, tetapi kejayaan mereka merampas kembali Kedah itu tidak tertampung dengan kekecewaan mereka merampas kembali Selangor. Jadi ini tentunya satu cabaran baru kepada PAS bagi membawa imej PAS ke tempat yang lebih jauh, tidak hanya sebagai parti kampung.

Pencapaian PAS di Melaka macam mana?

PRU13 menciptakan kejayaan yang gemilang kepada PAS kerana berjaya menembusi Melaka. PAS menang di satu Dun di Melaka, iaitu di Bukit Baru, manakala KeADILan pula menang di Parlimen Bukit Katil.

Kejayaan itu memecahkan kebuntuan PAS selama ini kerana Melaka sebelum ini begitu kebal untuk ditembusi oleh PAS. Malah, kita dari Pakatan Rakyat juga berjaya menumbangkan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam di Bukit Katil. Ini merupakan kejayaan besar bagi Pakatan.

Ini pasti akan memberikan semangat kepada rakan-rakan kita di Melaka. Ia juga adalah mukadimah untuk PAS terus meningkat dalam pilihanraya akan datang.

Di Johor, PAS juga turut menempa kejayaan gemilang.

Alhamdulillah, PAS juga berjaya memenangi empat kerusi Dun di Johor. Selebihnya adalah daripada DAP. Saya yakin, kita bersama Pakatan Rakyat akan dapat mempertingkatkan lagi pencapaian PAS di Johor dalam pilihanraya akan datang.

Slogan "Ini Kali Lah" daripada Sabah telah mempengaruhi gerak perubahan rakyat tetapi agak meleset jumlah kerusi yang dipungut Pakatan. Kenapa?

Di Sabah, walaupun kita gagal, tetapi Pakatan Rakyat berjaya juga mengambil beberapa kerusi.
Memang keputusan di Sabah itu agak mengejutkan kita.

Walaupun kalah, jumlah undi yang kita perolehi tidaklah mengecewakan sangat. Ini akan menambahkan lagi semangat ahli-ahli PAS di Sabah. Malah, kita tetap bersedia untuk menghadapi pilihanraya di Sabah.
Kesungguhan jentera PAS di Sabah memang cukup membanggakan.

Mereka juga mempunyai kecekapan tersendiri. Malah mereka mungkin sudah tidak memerlukan bantuan daripada PAS di Semenanjung lagi pada masa akan datang.

PAS langsung tak menang kali ini.

Walaupun PAS kalah di Sabah, tetapi rakan-rakan kita dari DAP dan KeADILan turut berjaya.
Awalnya kita memang jangkakan menang, tetapi kekalahan kita itu kerana adanya pertembungan banyak penjuru, sehingga tiga atau empat penjuru.

Kita sebenarnya hanya memerlukan satu lawan satu sahaja di Sabah. Kepimpinan Pakatan Rakyat perlu sedar perkara itu untuk pertandingan pada pilihanraya akan datang.

PAS di Sarawak juga alami nasib yang sama seperti di Sabah. Ini Macam mana YB?

PAS bertanding di lima kerusi parlimen di Sarawak. Walaupun kita gagal, tetapi jumlah undi yang diperolehi oleh calon-calon PAS di Sarawak meningkat. Kini PAS dah lebih 20 tahun berada di Sarawak.

Dengan peningkatan bilangan undi yang diperolehi oleh caloncalon PAS itu, menunjukkan kita telah berjaya mengurangkan sedikit ketakutan dan prejudis masyarakat Sarawak terhadap PAS. Saya yakin, pada masa akan datang, PAS akan mendapat sokongan yang semakin baik daripada rakyat Sarawak.

Pencapaian PAS di Pahang pula macam mana.

Perkembangan di Pahang memang agak menarik juga.

Walaupun PAS tak berjaya memerintah Pahang, tetapi PAS berjaya mencapai kemenangan di Parlimen Temerloh menerusi Ustaz Nasrudin Hassan, dengan mengalahkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang agak popular.

Selain itu, PAS juga menang di tiga Dun di Pahang. Awalnya, banyak pihak mengatakan PAS akan ditolak di Pahang, tetapi ternyata rakyat Pahang menerima PAS. Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa.

Ini juga petanda Pahang akan dapat PAS tawan dalam pilihanraya akan datang. Di Bentong dan Raub, Pakatan Rakyat turut menang. Ini menandakan masa depan yang cukup baik bagi Pakatan di Pahang.

Di Terengganu PAS hampir mengulangi kemenangan PRU10.Jelas kini PAS mula disokong rakyat.

Itu adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Setelah dua kali kalah, PAS meningkat perlahan-lahan di Terengganu.

Sekarang tak ada tempat di Terengganu yang tidak menerima PAS termasuk di Kemaman.

Walaupun PAS belum juga berjaya menawan Terengganu pada PRU 13 ini, tetapi kita berjaya meletakkan Umno-BN pada kedudukan yang cukup lemah, sehingga Umno-BN gagal mendapat majoriti suara dua pertiga di Dun Terengganu.

Jadi Umno-BN tak mungkin dapat buat sembarangan kerana mereka akan diperiksa oleh pembangkang yang kuat. Kita tak menentang pembangunan, tetapi pembangunan yang hendak dibuat itu mestilah yang memberikan keutamaan kepada rakyat, dinikmati oleh rakyat.

Kita berharap agar pemimpinpemimpin PAS Terengganu akan mengambil peluang ini untuk memahami cara-cara mentadbir negeri dengan lebih efektif untuk kepentingan masa akan datang.

Apa yang terjadi dengan calon-calon PAS di Negeri Sembilan?

Memang mengecewakan kerana PAS gagal di Negeri Sembilan, malah turut kehilangan kerusi tunggal di Paroi. PAS juga gagal membantu Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan.

Namun, dalam masa yang sama, PAS tetap juga berjaya menambah bilangan undi. Di Paroi, walaupun kalah, tetapi hanya dengan kekalahan kecil.

Di Kelawang, calon kita, Dr Rosli Yaakop juga hanya kalah kecil. Ini memberikan harapan baru kepada PAS untuk PRU14.

Peluang untuk PAS menang di Negeri Sembilan memang ada pada masa akan datang. Saya berharap agar pemimpin-pemimpin PAS di Negeri Sembilan akan mengambil kesempatan untuk melakukan usaha-usaha tertentu memperbaiki keadaan ini. Pemimpin PAS di Negeri Sembilan perlu menyediakan pemimpin-pemimpin yang berkeupayaan untuk di ketengahkan. Satu perkara lagi, janganlah memilih calon di saatsaat akhir.

Nampaknya pelbagai strategi digunakan BN untuk menawan kelantan gagal. PAS masih diberi mandat oleh rakyat memerintah. Apa komen YB?

Kita bersyukur kepada Allah kerana PAS berjaya memerintah Kelantan. Walaupun Kelantan diserang dengan hebat oleh Umno- BN, dengan keupayaan pemimpin mereka yang kuat seperti Dato' Mustapha Mohamad dan Dato' Dr. Awang Adek Hussin untuk membolehkan mereka merampas Kelantan, tetapi PAS dan Pakatan Rakyat tetap berjaya menghadapi cabaran-cabaran besar itu dengan baik.

Kita dapat pertahankan majoriti dua pertiga. Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan Pakatan Rakyat. Namun dalam masa yang sama, kita juga kecewa kerana turut kehilangan tiga kerusi yang ditandingi oleh KeADILan di Kelantan. Jadi, pemimpinpemimpin Pakatan Rakyat perlu mengambil pengajaran dari kejadian itu.

Di Machang, walaupun kita menang tiga Dun, tetapi kita kalah Parlimen Machang. Punca kekalahan itu mestilah dikaji dengan teliti oleh pemimpinpemimpin Pakatan Rakyat.
Kekalahan itu tidak akan berlaku jika tiada masalah.

Tiada ulasan: