Isnin, 20 Mei 2013

Kakitangan Utusan lempar mihun pada Hata Wahari

 


 
Kakitangan akhbar Utusan Malaysia hari ini hilang sabar apabila seorang bekas wartawan kanannya, Mohd Hata Wahari muncul di hadapan pejabat mereka untuk menyatakan bantahan ke atas laporan akhbar itu.

Dengan tidak semena-mena, individu tidak dikenalpasti dalam kumpulan seramai kira-kira 40 orang kakitangan Utusan yang berhimpun itu dilihat melemparkan dua bungkusan ke arah Hata.

NONEBungkusan yang gagal mengenai Hata itu kemudiannya didapati berisi mihun goreng.

Ia berlaku selepas Hata, yang muncul seorang diri dalam demonstrasi tersebut, cuba menunjukkan satu kain rentang ke arah pemimpin redaksi akhbar tersebut.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5 petang itu, beliau turut dihalang oleh seorang kakitangan Utusan yang meluru ke arah Hata dan cuba menarik kain rentang tersebut, sementara kumpulan kakitangan lain bersorak.

Kakitangan berkenaan berkenaan bagaimanapun tidak berjaya merampas kain rentang berkenaan.

NONEKumpulan kakitangan Utusan itu antara lainnya melaungkan  "boo", "balik", "komunis" dan "hidup Utusan" ke arah Hata.

Kain rentang yang cuba ditunjukkan Hata itu antara lainnya menyeru ketua pengarang Utusan agar menghentikan “kewartawanan tidak bertanggungjawab”.

“Jadilah wartawan yang menjunjung etika kewartawanan. Jangan gadaikan masa depan Utusan untuk kepentingan diri. Jangan jadi wartawan rasis," kata Hata lagi dalam pesanannya itu.

Kejadian itu diperhatikan seramai kira-kira 60 orang anggota polis, yang seterusnya meminta Hata beredar selepas insiden tersebut.

NONETerdahulu, Hata dalam sidang medianya berkata beliau membantah tindakan Utusan yang didakwanya sering menyalahi etika kewartawanan dengan memaparkan berita berunsur perkauman.

"Kita perlu lakukan sesuatu. Sebab akhir-akhir ini ramai sangat yang kutuk Utusan dan saya cuma nak tunjuk rasa tak puas hati. Lagipun setiap 2 Mei, sejak saya diberhentikan saya memang akan datang sini dan pegang kain rentang.

"Kalau kita lihat, makin teruk polisi dan etika kewartawanan (Utusan). Tajuknya terlampau perkauman. Tapi tak ada tindakan keras di ambil ke atas editor dan wartawan.

NONE"Apa yang berlaku amat menyedihkan. Media sepatutnya memepertahankan masyarakat," katanya sambil menambah, beliau hadir seorang diri kerana tidak mahu melibatkan mana-mana pihak.

Bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) itu berkhidmat di Utusan sejak 1995 dan dipecat pada 2 Mei 2011 selepas panel siasatan dalaman Utusan Melayu (M) Bhd mendapati beliau bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media.

Setelah itu, menjadi rutin beliau untuk berdiri di hadapan Utusan untuk mengadakan 'protes nasi lemak' pada setiap 2 Mei, yang juga tarikh kelahirannya.

Beliau bagaimanapun memilih untuk berdemo di hadapan Utusan pada hari ini memandangkan tarikh 2 Mei 2013 jatuh pada musim pilihan raya.

Tiada ulasan: