Selasa, 14 Mei 2013

Ibu tunggal saman Selangor digesa tampil daftar

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Para ibu tunggal yang telah menyaman Kerajaan Selangor digesa tampil mendaftar supaya dapat dipastikan kelayakan mereka mendapat bantuan pelbagai daripada kerajaan negeri.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Batu Tiga yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismai (gambar).

Kenyataan beliau itu sebagai respons kepada keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam yang telah membatalkan saman Murtini Kasman beserta 2019 yang lain terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar.

Saman Murtini telah menuntut bahawa Kerajaan Selangor membayar elaun berjumlah RM10.9 juta kepada 2,020 orang ibu tunggal yang membawa saman tersebut ke mahkamah.

Menurut Rodziah, kerajaan negeri dalam memastikan tawaran-tawaran kepada ibu tunggal di Selangor dapat bersama dimanfaati oleh Murtini dan ibu-ibu tunggal bersamanya.

“Kesia-siaan masa yang dibazirkan dan kos pengendalian kes mahkamah yang tinggi juga boleh dielakkan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, Kerajaan Selangor sekali lagi ingin menawarkan bantuan menerusi tawaran-tawaran kepada ibu tunggal yang meliputi bukan sahaja berbentuk elaun tetapi kursus-kursus kemahiran, skim-skim mikrokredit, pembinaan jati diri, bantuan peralatan, bantuan pembelajaran untuk anak-anak bersekolah dan di peringkat tinggi, yang kesemuanya membantu ke arah pemberdayaan ibu tunggal dan meningkatkan kualiti hidup para ibu tunggal, anak-anak dan keluarga mereka.

Beliau menambaha, Kerajaan Selangor berhasrat, secara berfasa, ingin membantu rakyat untuk berdikari menerusi merealisasikan konsep welfare to workfare, atau kebajikan kepada berpendapatan, untuk sekelian rakyat yang memerlukan bantuan.

Katanya, hanya dengan memberikan wang secara berkala bukan lagi dikira sebagai jalan penyelesaian untuk membasmi kemiskinan dan kesulitan hidup rakyat dalam jangka masa panjang.

“Saya mengulangi seruan saya selama ini, sebelum dan selepas kes saman, juga ketika dialog bersama pemimpin Persatuan Ibu Tunggal Selangor pada 28 November 2012 lalu, untuk para ibu tunggal yang telah menyaman Kerajaan Selangor tampil mendaftar supaya dapat dipastikan kelayakan mereka mendapat bantuan pelbagai dari Kerajaan Selangor,” ujarnya.

Katanya, proses, prosedur dan syarat-syarat perlu dipenuhi dalam memastikan hanya ibu tunggal yang layak diberi bantuan dan sebarang aduan rasmi boleh segera dimaklumkan ke pejabat beliau untuk siasatan lanjut.

Beliau menjelaksan, Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha untuk terus-menerus membantu semua rakyat di negeri itu dalam meningkatkan mutu kehidupan dan menjaga kebajikan mereka seperti yang diikrarkan dalam manifesto.

Tiada ulasan: