Rabu, 22 Mei 2013

Fokus polis tangani jenayah, bukan ‘buru’ aktiviti Pakatan


Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mengingatkan Ketua Polis Negara (KPN) yang baru supaya mengarahkan anggotanya menangani isu jenayah, bukan mengintimidasi program dan aktiviti politik pemimpin Pakatan Rakyat.

“Pihak polis sewajarnya lebih prihatin mengatasi jenayah, bukan isu politik terutama berhubung program yang dianjurkan parti politik Pakatan Rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.

polis-ganas

Kecenderungan polis mengekori aktiviti Pakatan akhirnya membawa malang kepada kakak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila rumahnya dirompak di SS3, Petaling Jaya dan adik KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Mantin, Negeri Sembilan, 18 Mei lalu.

Wong Chen berkata, Pakatan menyokong sebarang usaha membanteras kegiatan jenayah melalui peningkatan peruntukan dana dan peralatan yang munasabah.

Namun, katanya, operasi polis terutamanya Cawangan Khas (SB) perlu dirombak terutama melibatkan operasi yang kini cenderung mengintip aktiviti politik rakyat.

“Kejadian buruk seperti ini sepatutnya menjadi harapan baru rakyat Malaysia agar polis lebih prihatin dengan isu-isu keselamatan,” kata Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN itu lagi.

KEADILAN sebelum ini mendedahkan Belanjawan 2012 Malaysia menunjukkan pada 2010, Cawangan Khas telah menghasilkan 382,000 laporan mengenai aktiviti politik warganegara Malaysia dan 351,000 pelepasan pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Cawangan Khas menghasilkan 733,000 laporan dan mengintip kira-kira 4.3 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia berbanding Jabatan Siasatan Jenayah yang cuma membuka 212,000 fail jenayah.
Jumlah itu kurang daripada 30 peratus daripada aktiviti mengintip dilakukan Cawangan Khas.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mendakwa kadar jenayah negara menurun sebanyak 11 peratus bagi 2011 manakala jenayah jalanan sebanyak 40 peratus semenjak Program Transfromasi Kerajaan(GTP) diperkenal.

Namun, masih banyak kes berprofil tinggi yang masih tidak dapat diselesaikan.

Tiada ulasan: