KL TODAY
KUALA
LUMPUR – Cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September
ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang bermula Rabu lepas. Menurut
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), kebanyakan kawasan di negara ini
akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang
berkurangan, dan tempoh penerimaaan cahaya matahari yang lebih lama
menyebabkan suhu persekitaran meningkat.
Walau
bagaimanapun, beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung dijangka
mengalami hujan dan ribut petir pada lewat petang dan senja, menurut
jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara
kawasan persisiran pantai di negeri-negeri pantai barat Semenanjung
pula kadangkala akan mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin
langkisau yang kuat terutama pada awal pagi disebabkan pembentukan
garis badai di Selat Melaka.
Menurut
JMM, pada musim ini akan berlaku peningkatan frekuensi aktiviti ribut
tropika di barat Lautan Pasifik dan utara Laut China Selatan yang akan
menyebabkan kawasan Kudat dan Pantai Barat Sabah mengalami angin
kencang berserta hujan lebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan