Jumaat, 10 Mei 2013

BN tekan polis siasat pemimpin Pakatan guna Akta Hasutan

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Tekanan politik Umno BN punca polis terpaksa memanggil 28 individu termasuk beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang berceramah pada Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat 8 Mei lalu, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

“Ada kemungkinan tekanan dari BN. Sedangkan tak wujud pelanggaran undang-undang oleh penganjur himpunan,” katanya kepada Keadilan Daily.

KL

Ahli Parlimen Batu itu berkata, himpunan di Stadium Kelana Jaya itu dibenarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ismail sebelum ini menjelaskan, sebarang perhimpunan mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuk syarat pihak penganjur mesti memastikan ia adalah satu perhimpunan aman.

“Memang ada hak untuk berhimpun. Polis tak pernah melarang. Ada kemungkinan tekanan dari Barisan Nasional untuk polis menyiasat,” kata Tian.

Tegasnya, kesimpulan ucapan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO pada malam himpunan itu adalah mengenai ketelusan perjalanan pilihan raya dan legitimasi kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tak iktiraf keputusan pilihan raya. Bermakna kemenangan BN secara tipu. Ini bermaksud Najib bukan Perdana Menteri yang sah,” kata Tian.

Beliau turut mempertikai langkah polis yang begitu pantas menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO, dipercayai di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, namun masih belum ada siasatan berhubung salah laku pilihan raya.

“Yang kita pertikaikan ialah sistem pilihan raya. Jadi mengapa perlu ada siasatan di bawah Akta Hasutan?” soal Tian.

Justeru tegas Tian, Pakatan Rakyat akan meneruskan pendedahan dan penerangan penipuan pilihan raya ke seluruh negara.

“Kita akan memobilisasi jelajah ke seliruh negara untuk mencabar kesahihan pemerintahan Barisan Nasional,” kata Tian.

Tiada ulasan: