Isnin, 27 Mei 2013

BN parti tunggal akan wujudkan perpecahan

SINAR HARIAN

KOTA KINABALU - Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK Liew berpendapat prestasi buruk beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) pada PRU13 tidak mewajarkan bagi BN dijadikan sebagai parti tunggal.

Beliau berkata, sebaliknya semua parti komponen BN bersatu atas hakikat setiap parti mempunyai ciri dan kelebihan tersendiri.

Memberikan contoh latar belakang BN untuk menyokong pandangannya itu, Liew berkata: “Kita sorot semula bagaimana BN dibentuk pada awal 1970-an untuk menggantikan Perikatan ketika itu, kita tahu setiap parti komponen beroperasi untuk iltizam dan tujuan bersama, sebagai parti tersendiri yang keanggotaannya mengikut kaum."

“Dalam erti kata sebenar, setiap parti komponen mewakili kepentingan kaum atau masyarakat tertentu di Malaysia. Bagaimanapun, BN hanya berperanan sebagai satu parti semasa pilihan raya dengan semua calon parti komponen bertanding guna lambang BN dan berkempen di bawah manifesto BN walaupun setiap parti komponen turut mengeluarkan manifesto sendiri.

“Kejayaan setiap parti kemudian diukur daripada segi keupayaan untuk memenuhi tuntutan penduduk di kawasan masing-masing dan berapa banyak kawasan dimenangi mereka pada pilihan raya umum,” katanya di sini, semalam.

Liew berkata, BN sebagai parti tunggal mungkin akan mewujudkan perpecahan dalam kerajaan yang mungkin akan membawa pertikaian khususnya dalam isu membabitkan kepentingan minoriti atau kaum
tertentu di negara.

Katanya, walaupun wujud isu dalam gabungan dan ada sesetengah rakan kongsi berasa dipinggirkan tetapi perkara itu dapat diselesaikan tanpa perlu objektif BN dikompromi. - Bernama

Tiada ulasan: