Isnin, 13 Mei 2013

BN gagal martabatkan wanita pasca PRU13

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) gagal memartabatkan wanita pasca keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, dengan hanya mempunyai 13 Ahli Parlimen wanita daripada jumlah 133 kerusi yang dimenanginya.

Berbanding peratusan yang diperoleh Pakatan Rakyat, BN hanya berjaya meletakkan 9.8% wakil wanita di Parlimen manakala Pakatan Rakyat berjaya meletakkan 10.1% wakil wanita daripada jumlah wakil rakyat yang dimenanginya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini, Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming turut menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat berjaya mengangkat martabat wanita dengan mengetengahkan lebih ramai calon wanita di peringkat Parlimen dan DUN.

Pakatan Rakyat menawarkan 22 calon Ahli Parlimen dan 55 calon ahli DUN pada PRU-13, 5 Mei lalu.

“Daripada 9 Ahli Parlimen wanita Pakatan Rakyat, 3 adalah daripada PKR, PAS (2) dan DAP (4). Daripada 32 ADUN wanita Pakatan, 8 adalah daripada PKR, PAS (6) dan DAP (18),” ujar Kian Ming sambil menjelaskan wakil rakyat wanita dalam BN lebih didominasi oleh UMNO.

Daripada 15 ADUN DAP di Selangor, 5 daripadanya adalah wanita; manakala daripada 12 ADUN di Johor, 4 adalah wanita.

“Malah bagi pertama kali dalam sejarah DAP, tiga wakil rakyat wanita India dilantik; iaitu Kasturi Patto (P46 Batu Kawan, Pulau Pinang), Kamache A/P Doray Rajoo (N35 Sabai, Pahang) dan Mary Josephine Prittam Singh (N22 Rahang, Negeri Sembilan),

“DAP juga berjaya mencalonkan dua wanita dalam kawasan yang sama – Teo Nie Ching di P163 Kulai dan Wong Shu Qi di N22 Senai – kedua-duanya menang dengan majoriti lebih 10,000 undi,” kata Kian Ming yang juga strategis Pilihanraya DAP.

Menurutnya lagi, DAP akan terus bekerja keras demi mengangkat martabat wanita dengan menarik seberapa ramai ahli berkelayakan dan menawarkan mereka sebagai calon pada PRU akan datang.

“Teresa Kok dan Kasturi Patto adalah contoh yang mendapat pengalaman berharga sebagai Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang sebelum keduanya menjadi wakil rakyat. Terbaru Kit Siang melantik saudari Dyana Sofya Mohd Daud sebagai Setiausaha Politiknya di Gelang Patah,” tambah Kian Ming.

Namun bagi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang turut hadir pada sidang media berkenaan bersama Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; ini masih lagi tidak memadai memandangkan peratusan Ahli Parlimen wanita masih di bawah kadar 30% daripada keseluruhan Ahli Parlimen.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP kesal dengan keadaan kabinet Perdana Menteri Najib Razak pada penggal lalu yang terpaksa meletakkan Najib sendiri sebagai Menteri Wanita menggantikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Najib sampai terlupa untuk menyambut Hari Wanita Sedunia, tahun lalu. Begitu sibuk sekali beliau,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: