Anwar (gambar) membidas Ahmad Zahid supaya tidak menjadikan negara ini seperti milik keluarganya untuk melakukan sesuka hati, di samping menegaskan rakyat Malaysia berhak untuk membantah sebarang penipuan yang berlaku dalam proses pilihan raya memandangkan perkara tersebut adalah hak demokratik yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat,” kata Anwar yang dipetik berkata dari laman Malaysiakini dalam satu ceramah di Negeri Sembilan semalam.
Ahli Parlimen Bagan Datoh Barisan Nasional (BN) tersebut yang baru dilantik dalam Kabinet baru-baru ini menunjukkan kelantangannya apabila menggesa pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berpindah ke negara republik.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote yang digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.
“Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik mereka. Jika benar setia kepada negara kena terima sistem politik yang membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam Utusan Malaysia pada 16 Mei.
Tindakan pemimpin tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya DAP yang menyifatkan Ahmad Zahid sebagai gagal memahami tentang permasalahan yang timbul dalam proses pilihan raya di Malaysia, malahan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menyifatkan pendirian tersebut adalah pandangan peribadi dan bukannya mewakili gabungan parti pemerintah itu.
“Pertama, sistem first-past-the-post yang diamalkan kita sekarang memberi kedudukan yang tidak seimbang berbanding jumlah undi popular malah sempadan pilihan raya negara ini telah lama terjejas, dimanipulasi sejak berdekad-dekad.
“Keduanya, kita mempunyai sistem pilihan raya yang tidak sempurna dan sebab itu ratusan ribu rakyat Malaysia menunjukkan kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku. Kita menuntut sistem pilihan raya yang lebih baik,” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua mengecam kenyataan Ahmad Zahid tersebut.
Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia telah membanjiri lima perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara baru-baru ini bagi membantah dakwaan penipuan yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, serta menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
Penganalisis dan pemerhati menyatakan BN mengekalkan kuasa pusat pada PRU13 dengan sokongan dan kekuatan pengundi luar bandar, dengan sebahagian besar kerusi yang dimenangi mereka adalah dari Sabah dan Sarawak, manakala pengundi kelas pertengahan dan bandar yang tertumpu di kawasan yang lebih besar tidak lagi menyokong parti pemerintah dan menyokong PR.
SPR juga telah mengumumkan mereka sedang merangka persempadanan semula yang akan bermula pada akhir tahun ini.
Dalam keputusan PRU13 pada 5 Mei lalu, jumlah undi popular yang diperoleh PR ialah 5.5 juta undi dengan 89 kerusi Parlimen manakala BN mendapat 5.2 juta undi dengan 133 kerusi Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan