Khamis, 23 Mei 2013

Adam Adli didakwa di bawah Akta Hasutan, dibebas dengan ikat jamin RM5,000

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR— Mahkamah hari ini menetapkan 2 Julai depan bagi sebutan kes terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim atas dakwaan menghasut rakyat Malaysia turun ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan.

Hakim Norsyaridah Awang membebas dan melepaskan Adam dengan ikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin di Mahkamah Seksyen di sini.

Adam (gambar fail) didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang mana sekiranya didapati bersalah, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Adam yang berbaju T hitam diwakili peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, N. Surendran, Afiq M. Noor dan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Hakim ketika pendakwaannya berkata ucapan Adam yang dibuat pada 13 Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kecenderungan bagi membangkitkan rakyat Malaysia supaya cuba menukar kerajaan pemerintah dengan cara yang tidak sah.

Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

“Ini akta hasutan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah kata akan hapuskan, tetapi beliau masih gunakan akta ini untuk mendakwa Adam,” kata N. Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai.

“Kita akan fail permohonan untuk batalkan pendakwaan ini di Mahkamah Tinggi secepat mungkin.”

Hakim bagaimanapun berpendapat cadangan pemansuhan akta berkenaan masih sedang dikaji diperingkat cadangan dan bersifat pramatang, menjadikan akta berkenaan masih boleh digunakan.

Adam telah ditahan pada 18 Mei di Bangsar Utama.

Antara kenyataan Adam yang terkandung dalam kertas pertuduhan yang dibacakan hari ini adalah: “Ambil butiran saya, buat laporan polis, kerana hari ini, saya nak ajak semua yang ada di sini, kita harus susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Kita tak banyak masa lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans, sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga macan negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita.

“Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Sedara, ingat, ini sahaja peluang yang kita ada ...”

Tiada ulasan: