Ahad, 5 Ogos 2012

SPRM dakwa kes Gani disiasat adil

KL TODAY

 


Tiada kes yang disembunyikan untuk mengelak berlaku skandal, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merujuk kepada siasatan ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Timbalan ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata panel tersebut bertindak secara telus.

“Saya ingin menjawab dakwaan yang dibuat oleh bekas pengarah urusan Ho Hup. Saya ingin jelaskan bahawa siasatan SPRM adalah telus dan dibuat secara profesional tanpa mengira siapa yang disiasat.

“Semua kes dibentangkan di hadapan Panel Penilaian Operasi yang adil dan bebas,” katanya yang meminta individu berkenaan supaya mengemukakan bukti sekiranya terdapat pegawai SPRM yang mahu menutup kes berkenaan.

Panel Penilaian Operasi itu dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara Tan Sri Hadenan Abdul Jalil.

Penjelasan Shukri itu timbul ekoran dakwaan oleh pengarah urusan Ho Hup Construction Bhd Low Tuck Choy semalam bahawa SPRM hanya berminat untuk menutup kes berkenaan kerana pegawai yang tiba ke premis syarikat pembinaan itu bertanya mengenai sumber maklumat yang dibocorkan.

Low sebelum ini mendakwa bahawa dokumen yang mengaitkan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ke atas Abdul Gani adalah tulen dan beliau serta syarikat itu mengetahui identiti individu yang menandatangani baucer bayaran dan cek syarikat untuk membayar RM18,000 untuk penambahbaikan didakwa untuk banglo Abdul Gani di Seremban.

Gani menafikan dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau disogok oleh bekas timbalan pengerusi eksekutif Ho Hup Bhd, Datuk Vincent Lye, atas sokonganya dalam pertikaian lembaga pengarah syarikat tersebut. 

Dalam tulisan menerusi blognya Malaysia Today pada 23 Ogos lalu, Raja Petra mendakwa bahawa Lye telah memberi sogokan kepada Gani dan menggunakan dana Ho Hup untuk membayar kerja-kerja pengubahsuaian rumah isteri kedua ketua pendakwa raya itu di Negeri Sembilan.

Dalam respons pertama berhubung dakwaan Raja Petra, Gani memberitahu  bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada syarikat pembinaan tersebut.

“Saya tidak menerima satu sen pun daripada Ho Hup. Saya ada satu peraturan, saya tidak ambil duit,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau memiliki rumah di Seremban, Gani berkata: “Saya tiada rumah di Seremban ataupun di mana-mana di Negeri Sembilan.”

“Saya tidak tahu apa nak kata. Semua ini berlaku pada 2009 tetapi kes itu dibawa sejak 2010, jadi tidak masuk akal,” kata beliau merujuk kepada kes yang difailkan ke atas Datuk TC Low.

Raja Petra mendakwa Peguam Negara telah menggunakan pengaruhnya bagi pihak Lye untuk mendakwa Low di mahkamah tahun ini berhubung isu pendedahan kepentingannya dalam syarikat tersebut.

Tiada ulasan: