Portal berita MerdekaReview edisi Bahasa Melayu menamatkan operasinya hari ini selepas genap tiga tahun beroperasi sejak Ogos 2009.

Manakala edisi bahasa Cina pula akan berakhir perkhidmatannya pada 31 Ogos depan.

Dalam kenyataannya, sidang redaksinya menyifatkannya "keputusan yang berat" selepas gagal membebaskan dari masalah kewangan ekoran penaja tidak lagi menyuntik dana bagi melanjutkan operasi pada Mei 2011.

"MerdekaReview dilancarkan pada 31 Ogos 2005, dengan edisi bahasa Cina sahaja. Empat tahun kemudian, MerdekaReview menyediakan edisi Bahasa Malaysia sebagai medium untuk pembaca yang tidak fasih bahasa Cina.

"Dengan hanya seorang editor, edisi bahasa Malaysia memberi lebih tumpuan untuk menterjemahkan tulisan yang disiarkan dalam MerdekaReview edisi bahasa Cina, selain laporan aktiviti politik, forum dan wawancara tertentu.

"Di samping itu, beberapa orang kolumnis turut menyumbang untuk memperkayakan kandungan MerdekaReview dari masa ke masa. Namun demikian, segala-galanya terpaksa dibubuhkan noktah, apabila MerdekaReview gagal membebaskan diri dari masalah kewangan," kata sidang redaksi itu.

Redaksi: Mara untuk kebebasan bersuara
Mereka sebelum ini turut mengadakan kempen "Selamatkan MerdekaReview" seperti mengutip derma dan mengadakan kerjasama dengan portal berita Malaysiakini edisi bahasa Cina dengan "pelan langganan bersama" untuk menjana pendapatan.

"Namun demikian, pendapatan yang diperolehi daripada pelan langganan gagal menampung semua kos perbelanjaan yang diperlukan untuk meneruskan operasi media ini.

"Sepanjang tempoh setahun yang lalu, kami cuba mencari pelabur, penaja dan penyumbang dana sebagai jalan alternatif untuk menyokong dari segi kewangan, namun kami gagal menemui pelabur dan penaja yang sesuai," kenyataan itu dipetik.

Portal itu juga berkata, ekoran kekangan kewangan sedemikian, MerdekaReview berdepan dengan masalah mengekalkan pasukan editorial yang asal dan pada masa yang sama gagal menarik orang baru untuk menyertainya.

"Saban hari kami berdepan dengan lambakan isu yang perlu diberi liputan, sementara berhempas pulas untuk mencari sumber dana. Keadaan ini berlanjutan, sehingga kami mendapati agak sukar untuk mengekalkan kuantiti dan kualiti tulisan di MerdekaReview.

"Untuk mengelakkan ia terus menjadi beban yang semakin berat, maka kami terpaksa membuat keputusan untuk menamatkan operasi MerdekaReview," kata mereka.

Sidang redaksi juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak termasuk penulis dan pembaca yang menyokong dan memberi sumbangan kepada mereka termasuk Malaysiakini.

"Kami memohon maaf kerana gagal meneruskan perjalanan ini. Namun kami mendoakan agar rakan seperjuangan kami terus mara ke depan dalam perjuangan kebebasan bersuara dan pendemokrasian politik," kata mereka.