Jumaat, 24 Ogos 2012

PKR Mahu SPRM Siasat Pemberian Tanah IPD Brickfields Kepada Syarikat Swasta




PETALING JAYA  : Kontroversi berhudung pembangunan semula Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata tanah yang sepatutnya digunakan untuk mendirikan IPD Brickfields yang baru akan sebaliknya digunakan untuk bangunan perniagaan.

Nurul Izzah berkata status tanah IPD Brickfields tidak boleh ditukar dari tanah untuk institusi kepada tanah komersial.

Beliau berkata bangunan perniagaan yang bakal dibina di atas tapak asal IPD Brickfields hanya akan mempunyai sebuah pondok polis.

 

“(Raja) Nong Chik harus faham bahawa penduduk di kawasan sekitar memerlukan balai polis.

“Ia penting bagi mengawal jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu, katanya dalam sidang media di pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tapak IPD Brickfields akan digunakan untuk membangun semula pejabat polis tersebut.

Akan tetapi papan tanda di tapak projek tersebut menunjukkan tanah itu akan ditukarkan statusnya daripada tanah institusi kepada tanah perdagangan (pembangunan bercampur).

Lebih serius lagi, pegawai tinggi syarikat yang mendapat tanah tersebut dikatakan ada hubungan dengan pemimpin Umno Bahagian Bukit Bintang.

Persoalan juga timbul tentang hubungan pegawai syarikat tersebut dengan ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Senator Dewan Negara Mariany Mohamad Yit.

Nurul Izzah berkata kebisuan Nong Chik berhubung penjelasan perkara itu turut dipertikaikan penduduk.

Ini kerana pertukaran status tanah dan lokasi IPB Brickfields berlaku di dalam keadaan jenayah yang semakin meningkat di kawasan itu.

Tiada ulasan: