Jumaat, 3 Ogos 2012

Anak muda tolak logo & lagu kemerdekaan ke-55

Shara Shazana,

Usia 55 Tahun Kemerdekaan seharusnya melahirkan satu tempoh kematangan yang unggul. Namun menelusuri paparan pelbagai blog, facebook dan twitter, menampakkan wacana perbincangan yang gamat memperkatakan mengenai kritikan terhadap lagu dan logo kemerdekaan yang ke-55 tahun ini.

Kematangan minda dan gaya fikir serta definisi patriotik telah mula dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat yang ingin turut sama membaikpulih imej yang telah mencalarkan mood sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55.

Pertama kali dalam sejarah, Ameerah melihat dangkalnya pemikiran pemerintah yang cuba membawa propaganda dalam nada yang agak keterlaluan dalam tema kemerdekaan. Namun pastinya hal ini tidak disambut baik oleh generasi media baru kini dan jelas dizahirkan dalam kritikan di media baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan layaknya.

Facebook Portal Malaysia Merdeka milik kerajaan juga dipenuhi komen-komen rakyat Malaysia yang mengkritik pilihan logo dan lirik untuk tema kemerdekaan tahun ini. Sejumlah “1,075 people likes” untuk portal seperti itu adalah satu angka yang sedikit.

Lagu tema Hari Kemerdekaan Ke-55 yang dimuatkan di youtube oleh Khairil Husni pada 27 Julai 2012 hanya mendapat 297 likes, 20,538 dislikes. Sejak artikel ini ditulis. Angka dislike bertambah setiap waktu.

Pereka bentuk logo kreatif bertalu-talu berkongsi logo lukisan mereka demi semangat kemerdekaan yang sebenar.

Masyarakat kini semakin cerdik. Bukan lagi sekadar menerima bulat-bulat apa yang dipersembahkan walaupun hanya pada lagu dan logo.

Ameerah melihat unsur kematangan dan jiwa patriotik yang lahir serta keberanian masyarakat Malaysia yang harus dicontohi.

Selaras dengan misi patriotisme yang dibawa Ameerah, kami menyeru semua anak muda menghayati dan memaknakan erti kemerdekaan sebenar dalam membangun jiwa generasi baru.

Kita bukanlah pewaris perjuangan kemerdekaan yang hanya mampu menuruti tanpa berfikir!

Kitalah pewaris yang bakal melakari dan mencoret kanvas sejarah kemerdekaan untuk tahun yang akan datang. Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Yang Ke-55

*Penulis ialah anak muda daripadaAmeerah, Dewan Muslimat Pas Pusat

Tiada ulasan: