Rabu, 4 Januari 2012

Noh Omar dinasihat tumpu pada tugas

Beliau perlu teliti perkara mengenai salah laku di kementerian beliau. Dengan masalah baja, padinya...itu patut diberi tumpuan, kata Shuhaimi Shafie.



SHAH ALAM: Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie menasihati Datuk Seri Noh Omar agar menumpukan tugas sebagai menteri dan jawatannya dalam parti daripada terus mengkritik pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Shuhaimi mendakwa wujud seorang tokoh korporat berusia 40-an yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diuar -uarkan menjadi orang nombor dua selepas Najib untuk menerajui Barisan Nasional (BN) Selangor.

Noh merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

“Noh Omar perlu teliti perkara mengenai salah laku di kementerian beliau. Dengan masalah baja, padinya…itu patut diberi tumpuan.

“Beliau (Noh Omar) yang sebelum ini dikatakan bakal Menteri Besar Selangor perlu tumpu kerja beliau sebagai Ketua Perhubungan BN

Selangor memandangkan wujud ura-ura seorang tokoh korporat yang rapat dengan Najib bakal menggantikan beliau,” dakwa Shuhaimi.

Noh dalam ucapannya ketika Karnival Sayangi Selangor baru-baru ini mengkritik negeri itu sebagai kotor.

Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri Seri Muda berkata Selangor menjadi kotor selepas keputusan kerajaan negeri menamatkan kontrak pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Alam Flora Sdn Bhd dan melantik kontraktor-kontraktornya sendiri.

Shuhaimi walau bagaimanapun menafikan tuduhan Noh sambil menyifatkan rakyat Selangor tahu pengambil alihan proses sampah daripada Alam Flora.

“Tuduhan Noh berunsur sabotaj sebab mereka dapat kontrak pembersihan di kalangan orang Umno. Kenyataan beliau (Noh) menggambarkan kerajaan negeri tidak cekap dalam urusan tersebut.

“Apa yang diucapkan selama ini melibatkan sebahagian kecil kontraktor. Tindakan segelintir kontraktor ini dikesan menghentikan kerja- kerja mengutip sampah di beberapa kawasan. Unsur sabotaj ini dirancang Umno Selangor untuk pastikan aduan itu adalah benar,” dakwa beliau.

Tiada ulasan: