Rabu, 4 Januari 2012

Bebas Anwar 901: Shahrizat, Najib boleh ikut serta

Jika polis jalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin maka tidak akan timbul sebarang masalah, kata Jenice Lee.



SHAH ALAM: Pakatan Rakyat Selangor mempelawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyertai perhimpunan kempen ‘Bebaskan Anwar 901′ di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

“Tidak terkecuali kita juga menjemput (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai perhimpunan ini. Shahrizat dan Najib juga ada hak untuk berhimpun,” kata Setiausaha Publisiti DAP Jenice Lee Ying Ha dengan nada agak sinis.

Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Teratai berkata demikian berikutan kenyataan Shahrizat semalam yang berkata perhimpunan itu sebagai tidak wajar diadakan kerana akan menimbulkan kekecohan semata-mata.

Shahrizat juga mendakwa perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan boleh mengancam keselamatan orang awam.

“Jika polis jalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin maka tidak akan timbul sebarang masalah,” kata Jenice Lee pada sidang media Pakatan di sini hari ini.

Ujar beliau, “lihatlah pada Himpunan Bersih 9 Julai dan kes pelajar di Perak bukan para demonstran yang membuat kecoh tetapi ada individu tertentu yang membuat kecoh. Kita banyak pengalaman mengenai hal provokasi ini.”

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Shuhaimi Shafie dan Ketua Penerangan PAS Saari Sungib.

Kebangkitan rakyat

Shuhaimi, ketika ditanya pemberita, sama ada Pakatan akan memohon permit untuk perhimpunan itu berkata, sepanjang rekod permohonan permit untuk mengadakan ceramah, ia tidak pernah dikeluarkan oleh polis.

“Perhimpunan ini sesuatu yang spontan. Kebangkitan rakyat tentang kes Anwar. Belum pun diadakan perhimpunan, polis dah keluar kenyataan kata jangan datang maka kami tak nampak ia akan diluluskan,” kata beliau yang juga Adun Seri Muda.

Menyentuh mengenai persiapan perhimpunan, Shuhaimi berkata terdapat empat kawasan untuk mereka berkumpul nanti tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sementara itu, Saari menjelaskan bahawa ahli-ahli PAS enggan menyertai Himpunan Sejuta Umat tahun lalu kerana perkara itu telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, menganggap Himpunan Sejuta Umat sebagai agenda Umno bertujuan untuk mencetus permusuhan di antara kaum, kata beliau yang juga Adun Hulu Kelang.

Tiada ulasan: