Selasa, 25 Oktober 2011

UIA tunduk tekanan batal gantung tugas Aziz Bari, kata badan pelajar

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ― Dua pertubuhan pelajar menyambut baik keputusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menarik balik keputusan menggantung tugas pensyarah undang-undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari, disifatkan sebagai kejayaan ekoran tekanan banyak pihak.

UIA mengumumkan keputusan itu lewat petang semalam dan Aziz diarah lapor tugas hari ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya menyambut baik dan mengalu-alukan penarikan balik arahan penggantungan tugas dan menganggap bahawa peristiwa menggantung tugas merupakan satu tragedi keilmuan kepada institusi pendidikan tinggi negara.

Ini kerana menurut beliau, isu tersebut sebenarnya dibangkitkan oleh pihak luar berkepentingan yang sengaja mencari publisiti murahan yang akhirnya membawa kepada penggantungan beliau yang pada dasarnya boleh diselesaikan dengan cara berhikmah tanpa menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

“PKPIM sekali lagi menyambut baik penarikan balik arahan penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) dan mengharapkan kebijaksanaan Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dalam menyelesaikan kemelut ini dengan baik dengan proses siasatan yang telus dan adil lantas memberikan gambaran dan respons yang positif terhadap institusi Taman Ilmu dan Budi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PKPIM berpandangan jika tafsiran, pandangan dan hujah ahli akademik yang dilihat menyalahi kebenaran, sewajarnya pendokong ilmu mahupun universiti sebagai gedung ilmu harus mengangkat dan menghormati perbezaan pendapat secara ilmiah dengan mengutarakan tafsiran, pandangan balas tandingan dan bukannya melalui tindakan yang memberi tekanan melalui elemen undang-undang dan sebagainya.

“PKPIM memandang Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai seorang intelektual yang konsisten dan dilihat berjalur inteligensia dan bersosok massa dalam memasyarakatkan hujah dan idea beliau agar difahami masyarakat berbanding kebanyakkan ahli akademik lain yang kebanyakkannya terikat, takut dan tidak melangkaui batasan dunia universiti.

“Justeru, PKPIM melihat sokongan yang ditunjukkan oleh mahasiswa bukanlah diminta-minta, tetapi diangkat dan diusulkan sendiri oleh golongan ini yang memahami bahawa budaya ilmu yang sebenar adalah apabila meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat tertinggi, menganiaya ilmuan bukan langkah yang berilmu dan membela ilmuan teraniaya merupakan langkah yang berilmu,” kata beliau lagi.

Katanya, PKPIM berharap peristiwa sebegini dijadikan iktibar dan pengajaran oleh pihak tertinggi universiti di seluruh Malaysia agar tidak terjadi lagi pada masa depan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) pusat, Mohd Yusof Hadhari turut mengucapkan tahniah kepada UIA kerana menarik balik penggantungan ke atas Aziz.

“UIA adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa yang sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea bukannya menekan ahli akademik yang berbeza pandangan terhadap parti memerintah,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Kata beliau, kemungkinan keputusan menarik balik penggantungan ini disebabkan ekoran tekanan daripada kakitangan universiti, mahasiswa, ahli akademik dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah sendiri serta orang awam.

“Apa pun kita semua kesal dengan tindakkan UIA sebelum ini yang mengunakan Seksyen 15(1) terhadap pakar undang-undang itu dan tidak menggunakan pertimbangan yang baik serta mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah.

“Universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda mahasiswa serta masyarakat. Jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidang beliau, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan dibisukan,” katanya.

Mohd Yusof berkata Gamis menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati serta mempertahankan hak kebebasan akademik.

Tiada ulasan: