Ahad, 16 Oktober 2011

Tuduh media KEADILAN: Ketua Wanita MCA diminta tarik balik kenyataan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Biro Penerangan KEADILAN meminta Ketua Wanita MCA Pulau Pinang menarik balik kenyataannya berhubung tuduhan terhadap media rasmi KEADILAN, atau berdepan tindakan undang-undang.

Malaysiakini semalam melaporkan Tan Cheng Liang mendakwa laman web yang dikendalikan organ media PKR, Suara Keadilan memaparkan gambar-gambar wanita dalam keadaan bogel dan mengghairahkan.

Beliau mendakwa laman web tersebut turut melabelkan dirinya sebagai ‘pelacur Chulia Street’.

Timbalan Ketua Penerangan, Sim Tze Zin berkata, tuduhan Tan Cheng Liang itu tidak berasas dan menegaskan organ media KEADILAN tidak mempunyai kaitan langsung dengan laman web yang dimaksudkan.

“Mereka (Cheng Liang) tidak harus menuduh sesiapa tanpa bukti-bukti yang sah kerana siapa saja boleh membuka laman web dengan menggunakan nama Suara Keadilan,”

“Tuduhan ini tidak berasas dan kita boleh mengambil tindakan undang-undang atas tuduhan mereka,” katanya.

ADUN Pantai Jerejak itu juga kesal kerana Cheng Liang tidak menyelidiki terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan.

“KEADILAN adalah parti politik yang bertanggungjawab dan tidak akan buat perkara yang mangaibkan dan menjijikkan ini,” katanya.

Tan, bekas Adun Jawi membuat laporan polis di Nibong Tebal semalam, selepas dimaklumkan mengenai laman web yang katanya telah mencemarkan nama dan maruahnya itu.

Tan berkata beliau membuat laporan itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang anggota MCA Bukit Bendera yang dimintanya melayari www.suarakeadilan.wordpress.com.

Bagaimanapun laman web berkenaan tidak mempunyai kaitan atau dikendalikan oleh media rasmi KEADILAN, Suara Keadilan sepertimana yang didakwa.

Tiada ulasan: