Jumaat, 21 Oktober 2011

Tindakan UIA bacul, kata PSM

PSM bidas tindakan UIA yang menggantung tugas profesor undang-undang Aziz Bari.



PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menyifatkan tindakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai bacul.

Setiausahanya S Arulchelvan berkata, PSM menganggap tindakan menggantung pensyarah kanan kulliyyah undang-undang itu sebagai tindakan bacul dan kurang profesional.

“Tindakan ini juga menjurus kepada mencabul hak kebebasan akademik dan hak memberikan pendapat iaitu satu hak perlembagaan,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan media.

Semalam UIA telah menggantung perkhidmatan Aziz Bari dan turut mengemukakan surat tunjuk sebab berikutan kenyataan beliau di dalam laporan Malaysiakini pada 12 Oktober.

Aziz Bari dilaporkan sebagai berkata bahawa Akta Hasutan 1948 tidak mepunyai peruntukan untuk menyabitkan seseorang untuk komen yang dibuat terhadap sultan.

Beliau digantung perkhidmatan berdasarkan Peraturan 15(1), Peraturan Disiplin Kakitangan 2005 UIA.

Campurtangan Umno

Arutchelvan turut menyifatkan penggantungan Aziz menunjukkan bahawa golongan akademik hanya boleh memberi kenyataan pro-pemerintah lantas menunjukkan bahawa wujud campurtangan Umno dalam keputusan penggantungan itu.

“Tindakan ini membuktikan ada campurtangan politik memandangkan desakan untuk mengambil tindakan terhadap beliau datangnya dari Umno dan kuncu-kuncunya.

Arutchelvan turut membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berucap mengenai hak kebebasan dan pentadbiran yang lebih telus walhal tindakan dalam kes Aziz Bari adalah bertentangan sekali.

“Tindakan ini sekali lagi mencetuskan persoalan, “cakap tak serupa bikin”. Tetapi pada realitinya, setiap suara pembangkang diambil tindakan dengan pelbagai cara yang anti demokratik.

“Justeru itu, PSM mahu UIA memaafkan Aziz Bari dan membenarkan beliau bertugas seperti biasa.

Dalam perkembangan berkaitan satu demonstrasi bagi menyatakan sokongan untuk Aziz Bari dianjurkan hari ini di pekarangan Masjid UIA Gombak oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Lihat juga:

University suspends Aziz Bari

Tiada ulasan: