Dalam tempoh seminggu dua terakhir ini, kedengaran suara positif dari kerajaan, terutamanya YAB Timbalan Perdana Menteri, untuk kembali memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Hal ini ditegaskan lagi oleh beliau ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan di Melaka baru-baru ini.
Pandangan positif tersebut adalah sejajar dengan usaha pembinaan jati diri bangsa, yang berpaksikan bahasa kebangsaan sebagai tiang serinya.
Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, sudah menjadi tanggungjawab sejarahnya untuk mengekal dan memperkasakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bahasa ini bukan sahaja menjadi alat pengajaran tetapi juga alat pemikiran, pembentuk konsep dan pandangan hidup khusus Malaysia.
Namun kami percaya sebagai sebuah negara yang menjadi warga dunia maka bahasa dunia lainnya, termasuk Inggeris harus diperkenalkan dan diajar di sekolah-sekolah kita.
Kami berpegang kepada kebijakan wira tempatan kurun ke-16, iaitu Hang Tuah, yang diperikan sebagai menguasai 12 bahasa, untuk menunjukkan betapa pentingnya kita menguasai bahasa-bahasa lain tanpa menggadaikan maruah bahasa Melayu sendiri.
Sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia tidak mungkin menawarkan pilihan, sama ada untuk menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tertentu.
Ini bukanlah cara yang berkesan dalam menyatupadukan warga negara dan membina sebuah negara bersama. Cara begini akan memperingkatkan dan membahagi-bahagikan kita dalam berbagai-bagai kelompok, di samping memperluaskan jurang pendidikan dan ekonomi antara bandar dan luar bandar.
Pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kurang berkesan sebagai wahana untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, kerana kedua-dua subjek ini tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk memperhalus dan meninggikan bahasa Inggeris melalui kosa kata yang merentas bidang, segala nuansa serta mEtaforanya – semua ini wajar dikuasai pelajar untuk menjadi pengguna bahasa Inggeris yang berkesan.
Di samping itu, sebuah kajian oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) pada 2007-2008, yang melibatkan 50 penyelidik yang mewakili kepakaran pendidikan peringkat universiti, yang melibatkan 70 sekolah menengah dan 90 sekolah rendah, yang termuat dalam buku laporan mereka setebal 186 halaman (tidak termasuk tiga lampiran penting) – menunjukkan bahawa dasar PPSMI telah gagal untuk mencapai matlamatnya.
Sehubungan itu, yang perlu diperbaiki ialah modul serta kurikulum bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kita. Adalah menghairankan, setelah para pelajar kita belajar bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah, dan lima tahun di sekolah menengah, kebanyakan mereka masih belum dapat menguasai bahasa ini dengan baik.
Sebaliknya, sebahagian pelajar lepasan sekolah menengah kita hanya memerlukan masa dua tahun untuk menguasai bahasa Jepun, Perancis, Jerman, dan terbaharu bahasa Rusia – bagi mengikuti kursus sains, teknologi dan perubatan di negara-negara berkenaan. Kita harus mencari contoh di Sweden, Denmark atau Belanda, di mana pengajaran lebih berkesan dan pelajar cepat menguasai dengan baik bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.
Bukti bahawa bahasa Melayu boleh dikekalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan kita hingga ke peringkat universiti, dan dalam masa yang sama mahasiswa boleh mengasah kemahiran bahasa Inggeris mereka, dapat dilihat melalui kisah kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak penubuhannya pada tahun 1970.
Sehingga tahun 1990-an, UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis PhD dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Lepasan UKM ramai yang telah menjadi profesional yang dihormati di dalam dan luar negara, termasuk dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan perubatan.
Walau pun telah mengikuti kurus-kursus dalam bahasa kebangsaan di Malaysia mereka tidak banyak menghadapi masalah apabila mengikuti kursus-kursus ijazah tinggi di UK, AS, Australia, Perancis, Jepun, negara-negara Timur Tengah, Rusia dan Ukraine.
Untuk terus memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penerbitan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang, dan untuk bacaan pelbagai peringkat pembaca, mestilah terus ditingkatkan jumlah serta mutunya.
Janji YAB Timbalan Perdana Menteri untuk memberi dana khas penerbitan buku ilmu, seperti yang diumumkan baru-baru ini, merupakan peluang yang harus diambil oleh semua pihak, terutamanya tenaga pengajar di semua universiti awam negara ini.
Sehubungan itu juga, pihak universiti awam wajar mengiktiraf sumbangan tenaga pengajar mereka yang menghasilkan penulisan dalam jurnal atau dalam bentuk buku dalam bahasa Melayu, bagi pertimbangan sumbangan ilmiahnya, termasuk kenaikan pangkat – selain sumbangan dalam jurnal antarabangsa.
Kami percaya jika sumbangan penulisan dalam bahasa Melayu oleh tenaga pengajar diiktiraf oleh universiti awam masing-masing, 1,700 professor yang diwakili dalam Majlis Profesor Negara, dan 25,000 tenaga pengajar di universiti-universiti awam kita akan kembali aktif menulis karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu dan memulakan suatu gerak baru dalam sejarah bahasa kita.
Kami juga mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka akan memainkan peranan penuhnya secara terbuka, melibatkan semua suku bangsa, dinamik dan imaginatif. Kehadiran bahasa Melayu di dunia juga harus ditegaskan. Hubungan antarabangsa yang lama terbina dalam hal-hal kebahasaan harus diteruskan.
Kami juga ingin mencadangkan supaya diisytiharkan Hari Bahasa Melayu Sedunia pada salah suatu hari dalam Bulan Bahasa Kebangsaan. Hari Bahasa Melayu Sedunia ini dapat dirayakan di semua negara berbahasa Melayu dan di institusi pengajian tinggi dan diplomasi di luar daerah Asia Tenggara.
Kami juga mencadangkan supaya diiktiraf penutur bahasa Melayu yang baik di kalangan warga negara Malaysia dan juga diplomat, pengusaha serta penduduk yang berasal dari luar negara.
Kita perlu semarakkan suatu bahasa dunia yang besar lagi penting ini, supaya apinya dapat menerangkan ilmu dan memberi warna indah kepada jati diri kita.
Nota: Tulisan di atas adalah kenyataan bersama Sasterawan Negara:
Dato’ Prof. Shahnon Ahmad
Dato’ A. Samad Said
Prof Dr. Muhammad Haji Salleh
Dato’ Noordin Hassan
Dato’ Dr. Anwar Ridhwan
Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan