Khamis, 27 Oktober 2011

Suami isteri rentung, dua anak cedera parah pagi Deepavali

THE MALAYSIAN INSIDER

SEREMBAN ― Hasrat sebuah keluarga untuk meraikan Deepavali di rumah seorang daripada anggota keluarga mereka di Alor Gajah, Melaka tidak kesampaian apabila pasangan suami isteri itu maut manakala dua anak mereka cedera parah dalam kemalangan di Batu 10, Jalan Seremban-Tampin pagi ini.

P. Mugunthan, 42, dan isterinya, K. Sothi, 36, rentung dalam kereta Honda Civic mereka yang terbakar selepas terbabit dalam nahas jalan raya dengan dua lagi kenderaan pada kira-kira 8.56 pagi, lapor Bernama Online.

“Kedua-dua anak lelaki mereka yang berusia 13 dan 10 tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Zamrus Zainal kepada pemberita di tempat kejadian.

Dua lagi lelaki yang memandu kereta Proton Iswara dan Toyota Camry yang terbabit dalam kemalangan itu juga terselamat, katanya.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat dan kedua-dua anak lelaki mereka turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan, kata Zamrus.

Tiada ulasan: