Jumaat, 7 Oktober 2011

Siasat syarikat monopoli benih padi

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin berhadapan dengan kekurangan bekalan beras apabila petani di Kedah dan Perlis tidak dapat mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Kegagalan petani mengikuti jadual penanaman yang disediakan oleh MADA itu disebabkan kegagalan syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pertanian Malaysia dalam membekal benih padi kepada petani.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa kekesalan kerana kegagalan serta kelembapan pihak kementerian mengatasi masalah kekurangan benih padi di sana.

"Perkara ini sudah hampir sebulan berlaku di Kedah dan Perlis terutama di kawasan MADA.

"Kebanyakan petani tidak dapat mengikuti jadual penanaman padi yang disediakan oleh pihak MADA kerana kegagalan syarikat terbabit membekal bekalan benih padi kepada petani," jelasnya ketika ditemui di lobi Parlimen, petang semalam.

Mahfuz juga memberitahu faktor ketiadaan benih padi ini adalah disebabkan faktor monopoli kerana hanya dua syarikat sahaja dilantik oleh kerajaan.

"Faktor utama berlakunya isu ketiadaan benih padi adalah kerana hanya dua syarikat sahaja dilantik oleh kerajaan dan dalam keadaan ini akan wujud sistem monopoli," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau difahamkan dua syarikat terbabit adalah Seri Merbok dan juga Haji Mohd Nor dari Sungai Besar.

"Apa yang kita tahu kedua-dua syarikat tersebut tidak memproses benih padi tapi sebaliknya padi benih itu diproses menjadi beras untuk dijual.

"Walaupun mereka tidak memproses benih padi tetapi mereka tetap menuntut subsidi dari kerajaan," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu menyiasat segera kedua-dua syarikat terbabit yang dilihat telah menimbulkan masalah kepada sektor pertanian padi di Utara Semenanjung.

"Siasatan perlu dilakukan segera kepada syarikat tersebut agar masalah kekurangan benih padi ini dapat diatasi selain itu juga tindakan hendaklah diambil jika terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh mereka ke atas padi benih yang dibekalkan oleh mereka.

"Sikap berlengah atau pandang ringan yang diambil oleh kerajaan akan menyebabkan negara ini mengalami kekurangan beras pada masa yang akan datang," sambungnya lagi.

Tiada ulasan: