PETALING JAYA : Setelah menunggu hampir 10 hingga 50 tahun berkenaan status tanah dan rumah pusaka yang diduduki, akhirnya penduduk di sekitar Petaling Jaya(PJ) dan Puchong menarik nafas lega di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Ini kerana sempena Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di Daerah Petaling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ), Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kira-kira 70 penduduk menerima surat pembaharuan tempoh pajakan kepada 99 tahun daripada kerajaan Selangor.
Sebelum ini, penduduk di PJ dan Puchong telah berkali-kali memohon kepada kerajaan negeri Barisan Nasional terdahulu malah ada yang berjumpa dengan Sultan bagi memperbaharui pajakan rumah mereka.
"Kerajaan terdahulu tidak mendengar masalah kami. Sekarang sangat cepat meluluskan permohonan kami dengan skim yang mudah hanya membayar RM 1,000."
Keluarge Fun See Chu @ Phoon Toh Pong yang berasal dari Petaling Jaya telah memohon berkali-kali selama 50 tahun kepada kerajaan dulu untuk memperbahrui pajakan rumah mereka.
Seorang lagi penduduk, Maszelan Mohamed, 52, dari Seksyen 3, di sini berkata pembaharuan pajakan menunjukan keprihatinan pentadbiran sekarang terhadap masalah rakyat.
Dakwanya mereka secara berkumpulan pernah hantar wakil untuk berjumpa dengan Sultan bagi meluluskan permohonan untuk memperbaharui pajakan.
"Alhamdulillah syukur. Sudah lama saya menunggu permohonan ini diluluskan. Saya sudah menunggu hampir 10 tahun sehingga ada wakil mengadap Sultan Selangor, namun tidak diendahkan," katanya.
Sementara itu Yu So Phin, 41, dari Blok 3, Puchong memuji proses permohonan baru yang diperkenalkan.
"Ini pertama kali saya memohon dan nampaknya mereka bertindak cepat. Tidak sampai dua bulan permohonan diluluskan. Kami mendapat maklumat daripada akhbar. Tindakan pantas ini ternyata memudahkan rakyat," katanya.
Manakala seorang lagi penghuni Blok 3, Puchong Yu Am Ping, 69, berkata masyarakat harus memberi peluang kepada pentadbiran sekarang untuk membuktikan kebolehan mereka.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan sistem pentadbiran kerajaan baru. Cuma mereka memerlukan masa untuk mempertingkatkan lagi pentadbiran mereka," katanya.
Status pajakan kediaman di Petaling Jaya, terutamanya rumah-rumah yang berusia 30 tahun ke-atas, merupakan isu lama yang tidak diselesaikan pentadbiran kerajaan dahulu.
Pada majlis yang sama Menteri Besar turut melancarkan logo Selangorku peringkat Daerah Petaling.
Turut diadakan majlis dialog bersama Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Pegawai Daerah Petaling.
Daerah Petaling terdiri daripada tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan