Ahad, 23 Oktober 2011

Saifuddin: UIA tak guna budi bicara, harap batal gantung tugas Aziz Bari



KUALA LUMPUR — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) boleh mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas Prof Dr Abdul Aziz Baru berhubung kontroversi semasa tetapi tidak wajar menggantung tugas beliau sebagai pensyarah undang-undang, tegas timbalan menteri.

Selain digantung tugas beliau juga dilarang masuk kampus tanpa kebenaran bertulis pengurusan dan tidak dibenar berhubung dengan staf universiti atau sekutu bisnes UIA.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau berharap pengurusan UIA akan menarik balik penggantungan dikenakan ke atas Aziz sejak Rabu lalu.

“UIA patut guna budi bicara, boleh beri surat tunjuk sebab tanpa penggantungan,” kata beliau dalam kenyataan ketika dihubungi.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau menghormati autonomi universiti dan “saya setelah membaca surat tunjuk sebab dan laporan bertulis, saya kekal dengan kenyataan-kenyataan saya sebelum ini.”

Khamis lalu, Saifuddin berkata beliau sedih dan terganggu dengan perkembangan di UIA.

Katanya, kandungan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atas Aziz juga tidak sesuai.

“Menggunakan Seksyen 15(1), tidak menggunakan budi bicara yang baik.

“Memudaratkan? Tolonglah, kita universiti. Akibat gantung adalah memudaratkan,” katanya.

Saifuddin mengakui isu yang melibatkan adalah urusan dalaman universiti tetapi bertanya apakah ia bukan sebahagian daripada masyarakat dan “ini zaman media baru.”

Kata beliau, Aziz belum disabit kesalahan dan berharap penggantungan akan ditarik balik.

Saifuddin juga berharap pengurusan UIA tidak akan mengambil tindakan terhadap mahsiswa yang mengadakan demonstrasi semalam membantah tindakan ke atas Aziz.

Tiada ulasan: