Ahad, 16 Oktober 2011

Presiden Gerakan: Saya sanggup korban demi parti, butiran kena tunggu

TERKINI

KUALA LUMPUR— Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau bersedia untuk melakukan pengorbanan demi parti ekoran — dipercayai berkait rapat dengan desakan agar tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Koh Tsu Koon menjawab soalan wartawan pada sidang media. — Foto oleh Choo Choy May
Bagaimanapun beliau enggan memberi butiran mengenai pengorbanan yang dimaksudkan.

“Saya tidak akan beritahu anda apa yang hendak saya lakukan . . . tetapi saya memberi anda jaminan, saya bersedia untuk mengorbankan diri saya demi parti,” katanya hari ini.

“Apa caranya dan bagaimana (ia akan dilakukan), saya akan memberitahu anda, kerana ini kepimpinan kolektif,” kata beliau ketika berucap menutup Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan hari ini.

Bagaimanapun Koh ketika ditemui enggan menjelaskan sama ada keputusan itu termasuk opsyen meletakkan jawatan sebagai Presiden Gerakan.

“Saya tidak akan menjawab apa-apa. (Ini) kenyataan saya untuk hari ini,” kata beliau.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang ini berkata, terdapat beberapa opsyen mengenai maksud pengorbanan.

Kata Koh, beliau akan akan mengambil satu keputusan hanya selepas membuat penilaian akhir mengenai apa yang terbaik bagi parti dan rakyat.

“Saya adalah orang yang bertanggungjawab, Saya tidak membuat keputusan berdasarkan emosi, juga saya tidak membuat keputusan berdasarkan teori dan sebab. Ia memerlukan gabungan sebab dan sentimen, katanya.

“Saya berkata saya sanggup mengorbankan diri saya untuk parti. Saya akan beritahu anda mengenai pengumumannya,” tambah beliau.

Koh berkata beliau akan mendapat pandangan kepimpinan pusat parti dalam membuat keputusan itu.

Katanya, beliau telah mula mempertimbangkan tentang opsyen itu sejak kebelakangan ini dan tiada kaitan dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika membuka persidangan Gerakan pagi tadi, ataupun ekoran gesaan Ketua Wanita parti Datuk Tan Lian Hoe yang menggesanya agar tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Koh berhadapan dengan kritikan ahli-ahli Gerakan dan pemimpin yang mendakwa kepimpinan beliau terlalu lemah.

Tiada ulasan: