Ahad, 16 Oktober 2011

Polis sedia hadapi PRU-13: Ismail

MALAYSIA CHRONICLE


GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail berkata, beliau telah mengarahkan semua kontinjen negeri memberikan latihan kepada pegawai polis di kontinjen masing-masing untuk menghadapi pilihan raya.

"Kami menunggu sahaja, kalau pihak kerajaan mengumumkan pilihan raya pada bila-bila masa, Insya-Allah kami sudah bersedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Setia 2010 Polis Bantuan Peladang (Upstream) Malaysia anjuran Sime Darby Plantation Sdn Bhd di sini, Sabtu.

Beliau berkata, latihan-latihan yang diberikan kepada pegawai-pegawai polis khususnya anggota polis baru adalah untuk meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam menjaga tempat pengundian semasa pilihan raya.

"Tugas-tugas ketika pilihan raya ini lebih spesifik dan setiap pegawai polis harus memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin," katanya.- Mstar

Tiada ulasan: