Jumaat, 7 Oktober 2011

PM akan umumkan Felda Holding ke BSKL?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan penyenaraian Felda Holding ke dalam Bursa Saham Malaysia dalam perbentangan Belanjawan 2012 Jumaat nanti.

Langkah ini dipercayai adalah klimaks dari pertembungan antara pihak berkuasa politik dengan pihak pengurusan dan warga Felda yang menentang usaha ini selama ini.

Ia bakal memberikan implikasi besar kepada Felda di masa akan datang, kata sumber Felda kepada Harakahdaily.

Yang menyedihkan pengurusan Felda dan warga peneroka adalah perkara ini tidak dibincangkan secara menyeluruh terdahulu dan keputusan ini menampakkan Felda benar-benar kesusutan dana sedangkan Felda tidak memerlukan sebarang dana hasil dari penyenaraian tersebut.

"Pihak yang bakal untung besar tentulah CIMB yang menikmati hasil jutaan ringgit seperti hasil menyenaraikan syarikat gula MSM milik Felda sebelum ini serta syarikat kroni Isa dan Najib yang berusaha memiliki perniagaan-perniagaan Felda yang selama ini sangat menguntungkan walaupun tidak disenaraikan dalam bursa," kata sumber itu.

Menurutnya, warga Felda kini berdebar-debar kerana meletakkan nasib warga Felda di kalangan pelabur bursa bermakna segalanya tentang duit dan bukan lagi budaya tanggungjawab sosial Felda iaitu syarikat perlu menyumbang kepada KPF, Felda dan juga menyokong program sosial dan pembangunan Felda.

"Penyenaraian bermakna ada kakitangan yang bakal dibuang atas dasar kecekapan penggunaan sumber manusia, sumber dana KPF dan Felda yang semakin berkurang serta tiada lagi peruntukan yang diutamakan kepada program sosial dan pembangunan warga Felda secara percuma (pelabur pasti bertanya tentang ROI)," kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan: