Jumaat, 28 Oktober 2011

PKR S'gor: Hutang petani RM110 juta tetap 'ketirisan'

MALAYSIA KINI

Ketua penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata jumlah insentif kepada petani yang masih gagal dibayar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tetap merupakan satu ketirisan walau dijelaskan menteri sebagai satu hutang.

Shuhaimi berkata, penjelasan menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar berhubung kegagalan kementerian membayar insentif RM110 juta kepada petani tersebut juga satu "respons mentaliti rendah."

Jelasnya, bayaran itulah yang sepatutnya diutamakan kementerian dan bukannya projek-projek lain.

"Apakah bukan satu ketirisan dalam pentadbiran Noh Omar apabila dengan nyata menteri (berkenaan) menyegerakan untuk melaksana sebanyak 135 projek kepada 1,746 subprojek tetapi berhutang pemberian insentif kepada petani kecil dan miskin?

"Sepatutnya insentif kepada petani ini didahulukan berbanding pelaksanaan projek terpilih yang mana boleh dikaji keutamaannya.

"Insentif kepada petani yang susah, kepada orang miskin boleh berhutang, boleh ditangguh, boleh dikurang, tetapi projek kepada kroni jika perlu boleh pula dipohon bajet tambahan tanpa perlu menunggu bajet baru," dakwa Shuhaimi lagi.

Beliau berkata demikian dengan merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang turut mendedahkan bahawa kementerian telah membelanjakan RM2.906 bilion – lebih RM11.94 juta daripada peruntukan sebanyak RM2.894 bilion.

Noh Omar dalam kenyataannya pada Rabu lalu menyifatkan Shuhaimi "cuba berlagak pandai" dalam isu berkenaan apabila membangkitkan perkara itu sehari sebelumnya.

"Saya sarankan supaya beliau belajar makna ketirisan dan hutang terlebih dahulu. Beliau perlu membaca lebih teliti Laporan Audit Negara sebelum membuat kenyataan tidak cerdik yang boleh memalitkan arang di mukanya sendiri," kata Noh.

Noh yang juga timbalan pengerusi BN Selangor berkata, laporan berhubung kegagalan kementeriannya tidak membayar insentif berjumlah RM110 juta itu pula "bukan bermaksud berlaku ketirisan."

"Apa sebenarnya berlaku adalah wang peruntukan untuk petani tersebut telah habis dibayar selaras dengan bajet yang diperuntukkan kepada kementerian.

"Malangnya jumlah insentif adalah melebihi jumlah yang yang diperuntukan oleh kerajaan dan ini bermakna kerajaan masih berhutang lagi dengan petani dan peruntukan telahpun diberikan oleh perdana menteri pada bajet 2012 untuk menyelesaikan baki tersebut," kata Noh lagi dalam kenyataan yang dimuatkan di www.nohomar.net.

Selain isu insentif kepada petani berkenaan, Noh juga berdepan dengan isu melibatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bernilai RM73.64 juta yang digambarkan dalam keadaan "kacau-bilau" dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Noh dijangka akan menjawab isu berkenaan dalam penggulungan bahas di Dewan Rakyat minggu depan.

Tiada ulasan: