Aidila Razak
Sekolah-sekolah tertentu di seluruh negara yang dipilih sebagai tempat mengundi telah secara rasmi dimaklumkan oleh pegawai pengurus bahagian pilihan raya masing-masing bagi membuat persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Dimaklumkan bahawa, saya telah dilantik oleh Suruhajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai Pegawai Pengurus bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sebelum tamat tempoh tamat Dewan Rakyat ke-12.
"Untuk makluman, sekolah tuan/puan telah dipilih oleh SPR sebagai sebuah pusat mengundi bagi PRU 13 akan datang," petik surat itu.
Menurut beberpa guru yang tidak mahu identiti mereka didedahkan, tarikh akhir bagi sekolah-sekolah untuk menyediakan senarai mereka yang berminat untuk bertugas pada hari mengundi adalah hari ini.
Guru-guru berkenaan juga berkata bahawa mereka yang mengandung dan dijadualkan bersalin sekitar akhir tahun tidak layak memohon jawatan petugas pilihan raya itu.
Dihubungi Malaysiakini, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria mengesahkan bahawa latihan untuk kerani pengundian bermula hari ini.
"Latihan bermula di negeri Selangor hari ini dan akan diikuti dengan negeri-negeri lain," katanya.
Menurut beliau, tempoh latihan bergantung kepada kawasan-kawasan di mana mereka akan ditempatkan.
Menurut Kamaruddin kebanyakan sukarelawan pernah bertindak sebagai kerani mengundi dalam beberapa pilihan raya sebelum ini dan oleh itu sebahagian besar mereka sudah mempunyai pengalaman.
"Kami akan mengemas kini beberapa prosedur yang baru," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan