Hafiz Yatim
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan sebahagian daripada penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dianggap bersifat menghina dan merendah-rendahkan ahli politik dan peguamnya berhubung perbicaraan liwat II.
Bagaimanapun, panel tiga anggota hakim itu menolak permohonan peguam Karpal Singh agar perkataan 'keputusan' di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman dikaji semula tafsirannya.
Panel yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin juga menolak permohonan Anwar untuk melucutkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah daripada mendengar kes berkenaan.
Dua hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang bersama adalah Hakim Tan Sri James Foong dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong.
Hakim Zulkefli, dalam mengumumkan keputusan sebulat suara itu berkata mereka mendapati bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak meneliti bahagian-bahagian tertentu merit kes itu "demi kesempurnaan".
Bagaimanapun mahkamah mengarahkan empat perenggan - 6, 15, 18 dan 75 - dikeluarkan daripada rekod penghakiman itu.
"Kami memutuskan perkara itu adalah ofensif dan memburuk-burukkan tertuduh dan juga peguambelanya,” katanya.
Karpal dalam hujahnya hari ini berkata penghakiman Abdul Malik bertujuan untuk memuaskan pemimpin politik yang menaunginya.
Beliau berkata tidak ada asas bagi kenyataan itu kerana merit rayuan tidak didengar di Mahkamah Rayuan ketika membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan