Rabu, 26 Oktober 2011

Penganalisis: Laluan BN Swak tak semudah 2008

MALAYSIA KINI

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom dijadul mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan BN pada 1 November untuk mengemukakan laporan mengenai persiapan negeri bagi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata laporan itu, antara lain, termasuk strategi BN negeri, calon parti-parti komponen BN, serta isu membabitkan kawasan-kawasan bandar, akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku pengerusi BN.

Penganalisis politik berkata walaupun Dr Rundi, yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), telah menyatakan PBB akan mencapai kemenangan 100 peratus, namun keyakinan itu tidak boleh diguna pakai kepada parti komponen lain seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pada masa ini, empat parti komponen BN negeri -- PBB, SUPP, PRS dan SPDP -- menguasai 29 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. Baki dua lagi kerusi iaitu Bandar Kuching dan fSibu, dipegang oleh parti pembangkang DAP.

Hanya kerusi Parlimen akan dipertandingkan di Sarawak dalam pilihan raya umum berikutan pilihan raya negeri diadakan berasingan. PBB telah diperuntukkan 14 kerusi Parlimen, SUPP sebanyak tujuh kerusi, PRS mendapat enam kerusi dan SPDP pula empat kerusi.

"Yang paling lemah masih SUPP. SUPP masih seperti SUPP yang lama sebelum pilihan raya negeri (16 April). Mereka (BN) tidak akan mencatat prestasi lebih baik daripada pada 2008," kata Dr Jeniri Amir, penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau berkata kerusi-kerusi di bandar, kecuali Bintulu, menghadapi ancaman ditawan oleh pembangkang, khususnya DAP.

"Kerusi-kerusi seperti Miri, Stampin, Sibu dan Sarikei berada dalam bahaya, bersama-sama dengan dua lagi kerusi di kawasan luar bandar -- Baram dan Saratok.

Hampir semua faktor yang menjadi punca kekalahan pada pilihan raya negeri yang lepas masih wujud. Ia hanya bergantung mengenai bagaimana pembangkang memanfaatkan isu berkenaan," kata Dr Jeniri.

Katanya Baram berada dalam bahaya atas hakikat bahawa pada pilihan raya umum yang lepas, kerusi itu dimenangi BN dengan majoriti kecil, manakala di Saratok, ancaman datang daripada wakil rakyat Krian Ali Biju dari DAP.

"Jika Ali Biju bertanding sebagai calon bagi kerusi Parlimen itu, beliau bakal memberikan tentangan sengit terhadap penyandang (Jelaing Mersat)," katanya.

Jelaing ialah setiausaha agung SPDP dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata BN masih boleh menang, tetapi tidak semudah pada 2008, manakala terdapat keperluan bagi parti pemerintah BN untuk mengenal pasti calon-calon lebih awal dan meletakkan sebanyak mungkin muka baru.

Seorang lagi penganalisis politik di Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi, juga mempunyai pendapat yang sama bahawa yang paling lemah dalam BN Sarawak ialah SUPP, yang mungkin akan menjejaskan keseluruhan prestasi BN di negeri itu.

SUPP dijangka bertanding di kerusi yang terletak di bandar, manakala DAP juga mensasarkan kerusi seperti Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri, yang majoritinya pengundi Cina.

"SUPP sudah kehilangan dua daripada tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada mereka. Dalam pilihan raya umum akan datang, saya percaya mereka kemungkinan akan hilang satu atau dua lagi kerusi. Tiada jaminan bahawa SUPP akan mencatatkan prestasi lebih baik, dan lagi pun Presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, akan berundur pada Disember," katanya.

Selain itu, katanya masalah dalaman SPDP kemungkinan besar akan menjejaskan prestasi parti itu jika ianya tidak diuruskan dengan berhati-hati.

Dr Rundi, semasa dihubungi, mengakui BN menghadapi tugas getir untuk menghadapi cabaran pembangkang di enam kerusi Parlimen di bandar iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Bandar Sibu, Lanang dan Miri.

Bagaimanapun, beliau enggan memperbesar-besarkan masalah dalaman SPDP, menyatakan ia sekadar salah faham di kalangan pemimpin tertinggi SPDP dan tidak melibatkan anggota akar umbi dan beliau percaya Presiden SPDP akan menyelesaikannya dengan mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan.

"Selain daripada itu, kami tidak melihat ada banyak masalah. Jentera BN sudah bersedia selepas pilihan raya negeri, dan daripada segi persediaan kami, kami sudah bersedia untuk mempertahankan kerusi kami, terutama di kawasan luar bandar dan sub-bandar,” katanya.

Beliau juga berkata BN akan memberikan tentangan sengit kepada pembangkang di kawasan bandar dalam pilihan raya Parlimen disebalik kekalahan teruk SUPP pada pilihan raya negeri lepas di mana DAP dan PKR menawan 13 daripada 15 kerusi di bandar yang ditandingi SUPP.

Selain itu, Dr Rundi berkata pada pilihan raya umum, situasinya adalah berbeza, kerana satu daripada faktor utama yang jelas kenapa DAP memenangi 13 kerusi pada pilihan raya negeri ialah kerana calon-calon tersohor parti itu dari Semenanjung turut berkempen di sini.

“Tetapi keadaan itu tidak akan berlaku pada pilihan raya umum kerana mereka akan sibuk berkempen di kawasan masing-masing,” katanya.

Faktor lain ialah pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, dan PAS, masih belum mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi Parlimen yang setiap parti akan tandingi di Sarawak, walaupun dua perbincangan telah diadakan.

Masalah itu berpunca daripada tiada kata sepakat dicapai antara DAP dan PKR mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi oleh setiap parti yang menyebabkan "pertindihan" di beberapa kerusi.

DAP dan PKR masing-masing mensasarkan antara 12 dan 15 kerusi daripada 31 kerusi manakala PAS dijangka bertanding di dua atau tiga kerusi di kawasan yang majoritinya Melayu.-- Bernama

Tiada ulasan: