Jumaat, 7 Oktober 2011

Pakatan mahu gaji minimum dilaksanakan

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Belanjawan Pakatan Rakyat yang menawarkan penetapan gaji minimum RM1,100 bertujuan menarik keluar majoriti pekerja berpendapatan rendah dari lubuk kemiskinan.

Ia juga bakal mengangkat maruah pekerja dan golongan miskin ke tahap yang lebih tinggi kerana selama ini golongan paling besar yang menyumbang kepada pembangunan negara telah diabaikan oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago.

Beliau berkata gaji minimum yang disyorkan dalam belanjawan Pakatan itu merupakan satu proses bagi membaik pulih ekonomi rakyat, produktiviti pekerja dan secara tidak langsung memberi lebih kuasa memilih dan membeli kepada mereka.

“Dengan syor gaji minima sebanyak RM1,100 oleh Pakatan, ia akan memberi kuasa kepada pekerja untuk berunding dengan majikan tentang hak dan kepentingan ekonomi mereka,” katanya kepada Roketkini.

Charles yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, gaji asas kebanyakan pekerja di Malaysia hanya dalam lingkungan RM500 sebulan walau telah bekerja selama berpuluh tahun.

“Bermula sedekad lalu, produktiviti pekerja meningkat tinggi, malah produktiviti syarikat juga naik, tetapi ia tidak selari dengan gaji pekerja yang dalam tempoh itu hanya naik kepada 2.6 peratus sahaja,” katanya.

Justeru, dengan ketetapan gaji minimum untuk semua sektor, Charles menjelaskan bahawa angka itu akan memberi lebihan kewangan kepada pekerja untuk berbelanja dan meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga mereka.

“Selain itu, dengan lebihan wang itu juga ia akan mendorong kepada lebihan aktiviti ekonomi dan secara tidak langsung juga meningkatkan ekonomi Malaysia. Ini bakal menjadi suntikan dan kenaikan ekonomi kepada Malaysia,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Pakatan Rakyat telah membentangkan Belanjawan bertema Kesejahteraan Untuk Semua yang menerangkan usaha telus Pakatan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, selain membetulkan kembali kerosakan-kerosakan angkara BN kepada Perlembagaan Persekutuan.

Belanjawan itu dilancarkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menjelaskan bahawa kuasa untuk menentukan gaji minimum terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan BN melaksanakan gaji minimum.

Berhubung Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan, Charles berkata, BN dan majlis itu sebenarnya tidak mempunyai political will sejak sekian lama.

“Hanya selepas desakan dari Pakatan, kesatuan-kesatuan pekerja, dan NGO-NGO, barulah mereka merasakan satu keperluan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan intergriti majlis rundingan tersebut sama ada gaji yang bakal ditetapkan mereka itu akan meliputi Sabah dan Sarawak, semenanjung Malaysia, atau berasaskan industri-industri sahaja.

“Sangat lembab usaha mereka… Mereka masih belum bincang,” katanya, menambah bahawa Pakatan dalam tempoh hanya beberapa bulan telah pun berupaya menetapkan satu angka gaji minimum, berbanding majlis yang dianggotai lebih 20 orang itu.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

permintaan gaji minimum RM900 pun tidak lulus, apalagi RM1100.

Tanpa Nama berkata...

Jika pendapatan majikan pun sikit, macam mana mahu bagi gaji minimum RM1,100?

Tanpa Nama berkata...

layakkah semua pekerja dari pelbagai sektor dapat gaji minimum RM1,100 sebulan?

madd berkata...

mungkin sukar untuk menunaikan permintaan ini..banyak foktor perlu dipertimbangkan seperti beban kerja dan kemampuan majikan..

Sanih Alias berkata...

Sedangkan permintaan gaji minimun rm900 pun masih dalam perbincangan inikan pula gaji rm1100 mahu dilaksanakan oleh Pakatan.

Tanpa Nama berkata...

Pakatan mampu membuat keputusan itu hanya dalam beberapa bulan. tapi adakah keputusan itu dibuat setelah kajian terperincai dan bersifat menyeluruh dijalankan??

Tanpa Nama berkata...

cadangan ini memang baik, tapi kerajaan pakatan perlulah memastikan tidak ada kecacatan selepas ianya dilaksanakan seperti penganggur dimana majikan berpotensi melakukan pengurangan pekerja kerana kos pekerja yang tinggi.

Unknown berkata...

Rakyat pun pasti tertunggu akan gaji minimun ini. Jadi bilalah agaknya akan menjadi kenyataan aa..