Rabu, 26 Oktober 2011

Negara berkebajikan bukti PAS bela semua kaum

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat negara ini diseru menyertai kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan terhadap kepimpinan negara.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, masa kepada politik perkauman di negara ini sudah berakhir.

Menurut beliau, sebaliknya, seluruh rakyat negara ini mesti dikenali sebagai rakyat Malaysia dan bukan lagi dari latar belakang kaum dan agama.

Katanya, sejajar dengan itu, PAS yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu sudah lama mengamalkan konsep menghormati antara satu sama lain demi kemanusiaan.

"Sehubungan itulah, PAS tidak mengira kaum atau agama dalam memberikan sumbangan, apatah lagi dengan konsep negara berkebajikan menjadikan PAS lebih bersungguh-sungguh membela semua kaum," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Barit Buntar mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada para penganut agama Hindu di negara ini.

"Selamat Menyambut Hari Deepavali untuk penganut Hindu semoga sambutan cahaya ini menyinari usaha perubahan yang kita lakukan," katanya.

Kelmarin, beliau turut menghadiri satu program sumbangan kepada fakir miskin bagi kaum India yang berlangsung di Telok Intan.

Program anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan PAS Kawasan Telok Intan itu membabitkan sumbangan kepada 240 orang fakir miskin di kawasan itu.

Turut hadir pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Annuar Sudin yang turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin terbabit dan Pengerusi DHPP Kawasan, Archaran Singh.

Sementara itu, Archaran dalam ucapannya mengharapkan program tersebut akan lebih meriah pada tahun-tahun akan datang.

Masyarakat India masih tercicir

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada penganut Hindu.

Beliau bagaimanapun kesal kerana sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir.

“Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif. Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan, keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati.

“Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan Keadilan sejak penubuhannya,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya masyarakat India tidak boleh dibiarkan terkebelakangan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat negara menjadi tidak seimbang.

Ujarnya, inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan dan PKR tidak memandang sambil lewa hal itu.

“Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan, dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura,” ujarnya.

Tiada ulasan: