Jumaat, 21 Oktober 2011

MIC Kedah yakin tawan semula 2 kerusi tradisi pada PRU-13

MALAYSIA CHRONICLE


PADANG SERAI - MIC Kedah yakin dapat menawan semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisinya iaitu Lunas dan Bukit Selambau pada pilihan raya umum ke-13 berdasarkan perkembangan positif pengundi di situ.

Pengerusinya S. Ananthan berkata sambutan yang diterima pada majlis anjuran MIC dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan pengundi India di negeri itu kini semakin condong kepada BN.

"Keadaan ini lebih memudahkan pekerja-pekerja parti menjalankan tugas mereka menyelami hasarat kaum India di Kedah," katanya kepada pemberita selepas program penyampaian sumbangan duit raya sempena Deepavali kepada lebih 1,700 murid di tiga sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SRJKT) dalam DUN Lunas hari ini.

Tiga sekolah terbabit yang dikunjungi Ananthan dan Naib Ketua Umno Bahagian Padang Serai Mohd Bakri Hashim ialah di Ladang Victoria, Ladang Henerita dan Ladang Lunas/Wellesley Lunas.

Ananthan berkata pemerhatian di lima kawasan mengundi dalam DUN Lunas yang majoritinya keturunan India yang sebelum ini menyokong pakatan pembangkang kini memihak kepada BN.

"Dianggarkan 6,000 pengundi India, iaitu 70 peratus daripada pengundi di kawasan itu memihak kepada BN, lebih-lebih lagi dengan keadaan kucar-kacir dalam Parti Keadilan Rakyat serta isu undang-undang hudud yang dibawa PAS," katanya.

Beliau berkata MIC Kedah juga tidak bimbang jika ada pengundi menyertai parti kaum India lain, asalkan mereka menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKJT Ladang Lunas/Wellesley Lunas P. Parameswaran yang turut hadir mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat atas pembinaan sebuah bangunan tiga tingkat di sekolah itu yang siap akhir tahun lepas.

Bangunan bernilai RM1.8 juta itu telah digunakan awal tahun ini dan dapat menampung 840 murid, katanya.- Bernama

Tiada ulasan: