TVS NEWS |
PETALING JAYA : Penduduk disekitar Daerah Petaling Jaya hari ini berpeluang untuk berdialog dan mengemukakan permasalahan mereka secara terus kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang turun padang bagi menyelami permasalahan rakyat dan seterusnya mencari jalan penyelesaian.
Antara masalah yang dikemukakan oleh penduduk ialah permasalahan berkenaan pajakan tanah,infrastruktur dan kemudahan awam yang turut disertai oleh Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad selaku Moderator dalam Sessi Dialog di Program Khas Mesra Rakyat (PMKR) dan Pelancaran Logo ‘Selangorku’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Paling mencuri tumpuan adalah permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara yang menghadapi pelbagai masalah terutama berkaitan kemudahan lif dan masalah bekalan air yang tidak memuaskan.
Abdul Khalid menyatakan masalah ini sudah lama dan perkara ini perlu diselesaikan dengan teratur dan segera dan meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya.
Katanya, terdapat beberapa kelemahan di dalam pembinaan terdahulu yang menyebabkan masalah timbul sehingga merunsingkan pihak penduduk.
“Dahulunya PPR adalah transit dan bersifat kediaman sementara sebelum mereka mampu membeli rumah yang lebih baik. Tetapi kini sudah menjadi kediaman tetap.
“Dahulunya peralatan yang digunakan untuk membina bersifat sementara misalnya lif boleh dipakai untuk lima tahun, tapi sekarang sudah lima belas tahun. Maka lif tersebut perlu diubahsuai supaya dapat digunakan lebih lama. Begitu juga dengan paip air dan peralatan lain,” katanya.
Beliau menambah, dari segi peruntukkan yang bakal dikeluarkan untuk baik pulih, perkara ini akan diteliti dan disemak sebelum ditentukan memandangkan banyak perkara yang perlu dilihat agar masalah sebegini tidak berulang.
Ujar beliau lagi, masalah ini perlu dibincangkan dengan semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian sebelum turun bertemu sendiri dengan penduduk di sana.
Sementara itu, masalah kekesakan lalu lintas di Bulatan Templer juga turut dibangkitkan.
Chia, wakil penduduk Old Town Petaling Jaya meminta pihak kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini dengan kadar segera.
Bagi menjawab persoalan itu, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad memaklumkan, pihaknya akan memanggil perunding dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.
Beliau menambah, perkara ini akan diuruskan pada tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan