Ahad, 2 Oktober 2011

MB Lancar Seminar Usahawan Selangor

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid menyatakan pembangunan usahawan merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memperhebatkan taraf ekonomi negeri Selangor.

Katanya, usahawan yang berjaya bermula dengan sikap kepercayaan terhadap diri sendiri dan memperbaiki segala kelemahan demi memastikan kejayaan di masa hadapan.



"Saya merasakan ini sangat penting kepada negeri Selangor kerana pembangunan di negeri ini perlu diperhebatkan dengan adanya kumpulan-kumpulan usahawan yang sentiasa mencari jalan untuk berjaya.



"Jika ingin menjadi usahawan, konsepnya adalah melabur dalam diri sendiri, yakni memberikan kepercayaan kita boleh berjaya. Tapi untuk berjaya akan memakan masa yang panjang dan kita akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang akan memberikan kita pengalaman.



"Kalau kita ingin menjadi usahawan yang berjaya, asasnya adalah diri kita. Diri sendiri yang akan menentukan kejayaan atau tidak," katanya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Bumiputera 2011 anjuran Selangor State Investment Centre (SSIC) Berhad dengan kerjasama Akhbar Sinar Harian bertempat di i-City, Shah Alam.



Jelasnya, menceburi bidang keusahawanan merupakan satu perkara yang mencabar dan berhadapan dengan kegagalan merupakan asam garam yang perlu ditempuh dengan pengalaman yang berharga.



"Dari segi pembangunan keusahawanan, semua perkara ini dirangkumkan sebagai pengalaman. Lebih banyak kita tidak berjaya, lebih banyak pengalaman," katanya.



Beliau menambah, para usahawan juga perlu mencari inisaitif sendiri dalam menyelesaikan pelbagai masalah selain meningkatkan kecekapan dalam aspek pengurusan dalam membangunkan perniagaan yang dirancangkan.

Seminar ini bertujuan memotivasikan anak-anak muda bagi mencontohi ketekunan dan kreativiti para usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya.



Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi secara terus dengan penceramah dan panelist sepanjang seminar ini berlangsung.

Setiap slot penceramah adalah berdasarkan pengalaman dan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing di dalam membangunkan perniagaan di samping memberikan suntikan semangat kepada bakal usahawan dalam mencipta peluang perniagaan baru melalui usaha dan ketekunan yang cemerlang.



Antara usahawan bumiputera yang terkenal dan tersohor telah dijemput sebagai penceramah ialah Pengerusi Eksekutif DCL Group of Companies, Datuk Stapa Omar, Penerbit dan CEO Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengarah DPZ Pacific Kuala Lumpur, Datuk Kamal Zaharin, Ketua Eksekutif 1901 Sdn Bhd, Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin, Ejen Hartanah Wanita, Junaidah Tarjo dan Pengasas dan Usahawan Kosmetik Syarikat Leesa Formula Sdn Bhd, Che Muna Din (Mona Din).



Sasaran peserta seminar terdiri daripada bakal-bakal usahawan, para pelajar IPT dan mereka yang menceburi bidang keusahawanan.

Seramai 400 orang peserta telah berdaftar untuk menyertai seminar ini dengan bayaran sebanyak RM100 bagi individu dan RM20 bagi pelajar IPT dan turut menerima sijil penyertaan dari kerajaan negeri Selangor. 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan: